Bangi, 7 Julai 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi telah berjaya menganjurkan program Diskusi Siyasah Syar’iyyah: Mengurus Ikhtilaf dalam Landskap 4 Dimensi yang telah dihadiri oleh seramai 170 orang peserta yang terdiri dari kalangan penjawat awam pelbagai agensi kerajaan, wakil institusi agama dan masyarakat awam dalam satu medan wacana ilmiah yang matang dan berkesan.
Program ini bertujuan memperkasakan keupayaan peserta dalam memahami serta mengurus perbezaan pandangan (ikhtilaf) secara strategik dan beradab selaras dengan pendekatan siyasah syar’iyyah.
Sesi diskusi ini yang dikendalikan oleh YBrs. Tuan Haji Zakaria bin Othman selaku moderator memberi laluan kepada pembentang pertama iaitu YBrs. Dr. Mohd Shukri bin Hanapi Pensyarah Kanan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mengupas tajuk Fiqh Ikhtilaf – Dari Tradisi ke Aplikasi Kontemporari. Beliau telah mengupas prinsip-prinsip ikhtilaf dalam sejarah Islam serta cabaran mengaplikasikannya dalam realiti masyarakat masa kini.
Manakala tajuk pembentangan kedua iaitu Mengurus Ikhtilaf dalam Landskap 4 Dimensi telah disampaikan oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berhubung pendekatan siyasah syar’iyyah dalam mendepani cabaran dunia yang bersifat volatile, uncertain, complex, ambiguous.
YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal selaku Pengarah Kanan ILIM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kedua-dua pembentang atas pencerahan ilmu yang bernas dan menyentuh isu semasa dengan pendekatan yang seimbang dan strategik.
Juga ucapan terima kasih kepada semua peserta atas komitmen dan keterlibatan aktif sepanjang sesi diskusi berlangsung.
Semoga penganjuran program seumpama ini akan terus menjadi wadah pemikiran yang progresif dan konstruktif dalam membina kefahaman Islam yang inklusif, menyantuni perbezaan dan menyatukan ummah.






