Bangi, 16 Jun - Perkhidmatan awam sentiasa berdepan dengan realiti semasa di mana teras perkhidmatan awam adalah untuk menyampaikan perkhidmatan awam yang mempunyai nilai tambah (value added) kepada masyarakat. Setiap pihak perlu berusaha gigih membentuk perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi dan berinovasi kerana rakyat Malaysia semakin peka, berpendidikan tinggi dan mempunyai ekspektasi yang kian meningkat terhadap sistem perkhidmatan awam termasuk perkhidmatan hal ehwal Islam di negara ini.
Hari ini, perkhidmatan hal ehwal Islam telah mengalami pelbagai perubahan struktur organisasi termasuk penggubalan undang-undang, peningkatan sumber manusia dan pelbagai dasar-dasar baharu diperkenalkan dari semasa ke semasa. Oleh itu, setiap usaha dan agenda dalam memperkasa, menambah baik serta mentransformasi perkhidmatan hal ehwal Islam di Malaysia adalah amat penting bagi menghadapi cabaran dan keperluan semasa.
Sehubungan itu, bagi menyahut cabaran ke arah peningkatan kompetensi perkhidmatan dan penyampaian awam dalam kalangan Pegawai Hal Ehwal Islam (PHEI), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui Institut Latihan Islam Malaysia telah menganjurkan Program Eksekutif Pengurusan Hal Ehwal Islam kepada PHEI Gred S9 JAKIM Siri 3/2025. Program ini akan dilaksanakan selama lapan minggu bermula 16 Jun 2025 hingga 6 Ogos 2025. Berdasarkan Pelan Latihan atau Training Roadmap JAKIM, program ini merupakan kursus wajib kepada pegawai lantikan baharu JAKIM dan dikategorikan sebagai kursus Kompetensi Teras Utama sebagai sebahagian syarat untuk diperakukan oleh Ketua Perkhidmatan bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan.
Majlis pembukaan program telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM. Turut hadir ialah Puan Shukreyah binti Zawawi, Ketua Penolong Pengarah Kanan Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam, Puan Norhayati binti Jaffri, Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Dasar Latihan serta pegawai dan kakitangan ILIM.
Dalam program selama lapan minggu ini, pelbagai pengisian dan aktviti telah disusun berkaitan dengan pembangunan kompetensi yang melibatkan sembilan (9) bidang Teras Perkhidmatan Hal Ehwal Islam yang merangkumi bidang Al-Quran dan Al-Hadith, Aqidah dan Pemikiran Islam, Dakwah dan Pembangunan Islam, Perundangan Islam, Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), Muamalat dan Kewangan Islam, Tarbiyyah dan Tadribiyyah Islamiyyah, Pengurusan Halal dan Pengurusan Siyasah Syari’yyah, On The Job Training, Tafaqquh Fid Din, Penghayatan Tauhid dan Tasawwuf, Corporate Visit, Amal Jama’ie serta tugasan-tugasan samada berbentuk tugasan individu atau berkumpulan. Kesemua slot pengisian ini akan dikendalikan oleh para pembentang yang mempunyai kepakaran, pengetahuan dan pengalaman luas dalam bidang masing-masing yang terdiri daripada pegawai JAKIM, ILIM dan pihak luar bagi memastikan objektif program yang ditetapkan dapat dicapai.
Adalah diharapkan semoga program yang dianjurkan ini akan melahirkan PHEI yang yang berpengetahuan, berkemahiran dan berkomitmen seterusnya menjadikan organisasi kekal berdaya saing dan berprestasi tinggi.




