WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
BANGI, 10 Jun 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) sekali lagi menganjurkan Program Korban Madani 2025 sempena sambutan Aidiladha dengan matlamat menyemarakkan semangat pengorbanan, ukhuwah dan kebersamaan dalam masyarakat.
 
Program anjuran ILIM ini dijalankan dengan kerjasama dari Surau Salahuddin Al-Ayyubi ILIM (SSAI), Kelab Kebajikan Warga ILIM (KKWI) serta kerjasama erat daripada Kelab JAKIM, Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU) JAKIM dan Unit Hal Ehwal Islam, Maybank.
 
Tahun ini, sebanyak 14 ekor lembu telah dikorbankan. Daging korban telah diagihkan kepada golongan asnaf, warga ILIM dan JAKIM serta para petugas program.
 
Program Korban Madani bukan hanya tentang ibadah penyembelihan tetapi ia adalah ruang untuk menyantuni golongan memerlukan, mengeratkan silaturahim dan memperkukuh jaringan antara ILIM, rakan strategik serta masyarakat umum.
 
Program yang berlangsung di perkarangan ILIM Bangi itu dimulakan seawal jam 7.30 pagi dengan tazkirah ringkas ibrah pengorbanan dalam Islam oleh Ustaz Muhammad Afif bin Jamal, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan ILIM disusuli taklimat penyembelihan, proses korban, dan pengagihan daging.
 
Program turut disemarakkan dengan penglibatan sukarelawan dari kalangan warga ILIM, JAKIM dan rakan strategik Maybank.
 
Dengan semangat pengorbanan dan kesatuan, ILIM komited meneruskan usaha memperkasa nilai Islam yang inklusif dan menyeluruh selaras dengan gagasan Malaysia Madani.