Lahad Datu, 21 Mei 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Lahad Datu, dengan jayanya telah menganjurkan Kursus Pengkaedahan Kemahiran Jawi Moden 1.0 pada 20 hingga 21 Mei 2025 (Selasa hingga Rabu). Kursus ini telah berlangsung di Bilik Kuliah Yusof al-Qaradawi, ILIM Kampus Lahad Datu.
Penganjuran kursus ini bertujuan memperkasakan literasi tulisan Jawi dalam kalangan guru KAFA dengan menekankan aspek pengejaan, penulisan dan pembacaan yang berpaksikan kepada kaedah dan teknik yang sahih serta terkini. Di samping itu, kursus ini turut membangkitkan kesedaran terhadap warisan khazanah Jawi yang menjadi sebahagian penting dalam identiti dan sejarah peradaban Melayu-Islam.
Kursus ini telah berjaya menghimpunkan seramai 40 orang peserta, terdiri daripada guru-guru KAFA dari pelbagai daerah termasuk Lahad Datu, Tungku, Kinabatangan, Sandakan, Tongod, Telupid, Beluran, Kunak, Semporna, dan Tawau. Kehadiran para peserta ini mencerminkan komitmen tinggi dalam memperkukuh penguasaan tulisan Jawi di peringkat akar umbi.
Penceramah jemputan, Ustaz Herwan bin Harun, merupakan seorang tokoh berwibawa dalam bidang pendidikan Jawi. Beliau adalah Guru Munsyi Jawi dan Guru Pendidikan Islam dari SK Pengiran Jaya Pimping, Membakut, Sabah, yang memiliki pengalaman luas dan kepakaran mendalam dalam bidang ini.
Sepanjang kursus, para peserta telah menunjukkan tahap penglibatan dan interaksi yang amat memberangsangkan. Mereka turut melahirkan harapan agar program sebegini dapat dilaksanakan secara berterusan dan meluas, demi memastikan kesinambungan serta keberlangsungan tulisan Jawi dalam sistem pendidikan dan masyarakat umum.
Sebagai tanda penghargaan terhadap dedikasi dan usaha gigih para peserta, setiap peserta telah menerima sijil penyertaan pada majlis penutup kursus.
Kursus ini diharap dapat menyuntik semangat baharu serta meningkatkan kompetensi para pendidik dalam menyampaikan ilmu Jawi secara lebih berkesan, sistematik dan kontemporari.