BANGI, 20 Mei 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) melalui Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam telah menganjurkan Kursus Pengurusan Majlis pada 19 dan 20 Mei 2025 bertempat di ILIM Kampus Utama Bangi.
Kursus ini dianjurkan bagi memperkasakan pengetahuan dan kemahiran peserta dalam pengurusan majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan, selaras dengan keperluan protokol dan etika profesional. Melalui kursus ini, para peserta diberi pendedahan komprehensif mengenai tatacara, struktur dan pengendalian majlis dari peringkat perancangan, pelaksanaan sehingga pasca majlis.
Kursus dikendalikan oleh Tuan Haji Ahmad Dan bin Setapa, seorang pakar berpengalaman dalam bidang protokol dan pengurusan majlis. Beliau menggunakan pendekatan interaktif dan praktikal bagi memastikan peserta bukan sahaja memahami teori, malah mampu mengaplikasikannya secara berkesan dalam situasi sebenar.
Sepanjang kursus, peserta terlibat secara aktif dalam simulasi dan perbincangan berkumpulan yang merangkumi pelbagai aspek pengurusan majlis seperti susun atur tempat, pengurusan tetamu kehormat, penyusunan atur cara, serta pengendalian acara mengikut adat dan protokol yang betul.
Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen ILIM dalam melahirkan barisan pemimpin dan pengurus majlis yang berwibawa, beretika dan profesional, sejajar dengan matlamat meningkatkan standard pengurusan acara dalam sektor kerajaan dan institusi Islam di Malaysia.


