WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Lahad Datu, 16 Mei – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lahad Datu, dengan kerjasama ILIM Kampus Utama Bangi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), telah menganjurkan Kursus Pengukuhan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dan Pemikiran Islam pada 14 hingga 16 Mei 2025, bertempat di kampus berkenaan. Program latihan intensif selama tiga hari ini disertai oleh seramai 36 peserta yang terdiri daripada golongan imam, penjawat awam serta wakil masyarakat awam dari kawasan pantai timur Sabah.

Kursus ini bertujuan memperkukuhkan kefahaman dan komitmen peserta terhadap pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang merupakan teras kepada fahaman Islam arus perdana di Malaysia. Di samping itu, kursus ini turut memberi penekanan terhadap ancaman semasa yang dibawa oleh pelbagai aliran pemikiran yang menyalahi prinsip ASWJ serta potensi impaknya terhadap kestabilan akidah umat Islam dan keselamatan negara.

Antara pengisian utama yang diketengahkan termasuk pendedahan berkenaan sejarah perkembangan akidah ASWJ di Sabah, isu-isu semasa berkaitan fatwa dalam konteks setempat serta strategi membanteras penyelewengan akidah. Slot-slot ini telah disampaikan oleh Ustaz Abdul Rahman bin Tajudin, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dari SK Muhibbah, Sandakan.

Program ini turut menampilkan ceramah ilmiah oleh YBhg. Datuk Dr. Zaifuddin bin Md Rasip yang membincangkan tajuk-tajuk seperti Fitrah Beragama & Kefahaman Akidah ASWJ, Ancaman Pemikiran Islam yang Menyimpang, dan Ajaran Sesat di Malaysia: Kajian Kes Terhadap Ajaran-Ajaran Sesat Semasa.

Turut memberi pengisian ialah Ustaz Nik Ismail bin Jusoh, Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Akidah & Pemikiran Islam, yang membentangkan slot bertajuk Akar Kesesatan: Kajian Terhadap Syiah & Aliran Sesat Lain, yang memberikan kupasan mendalam terhadap ciri-ciri serta penyebaran ideologi yang bertentangan dengan landasan Islam yang sahih.

Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen berterusan JAKIM dalam memelihara kesucian akidah umat Islam di Malaysia, khususnya di kawasan yang berpotensi tinggi terdedah kepada pengaruh ajaran sesat dan ideologi ekstrem. Diharapkan program seumpama ini dapat memperkasakan peranan pemimpin masyarakat dan penjawat awam sebagai agen penyebar kefahaman Islam yang sahih dan murni.