BANGI, 7 Mei 2025 - Institut Latihan Islam Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui Seksyen Tarbiyyah dan Tadribiyyah, Program Pembangunan Insan (PPI) telah berjaya menganjurkan Kursus Sahsiah Pendidik Pesona dengan penyertaan seramai 34 orang dari pelbagai agensi yang berlangsung selama 3 hari bermula 5 Mei 2025 hingga 7 Mei 2025, bertempat di Auditorium As-Shafie Blok Akademik A, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi.
Kursus yang objektifnya membudayakan sikap proaktif dalam kerjaya pendidik serta melatih mengurus perbezaan konflik dalam pasukan dan memperkasa kemahiran pengurusan masa di samping mempunyai personaliti pendidik yang disenangi dengan seni kemahiran komunikasi yang jelas, lunak dan berpengaruh.
Kursus ini telah dikendalikan oleh dua orang penceramah yang dijemput khas dari Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Perak iaitu YBrs. Dr Nik Muhammad Hanis bin Nek Rakami dan YBrs. Dr Tajul Rosli bin Shuib.
Antara slot pengisian menarik kursus ini termasuk “Komunikasi Lunak” yang menekankan kemahiran menggunakan bahasa lunak asertif, “Teknik Lontaran Suara” yang mengkhususkan variasi suara sebagai pendidik secara praktikal dan “Urus Perbezaan” yang mengajar teknik mengurus perbezaan pendapat.
Majlis penutup kursus telah disempurnakan dengan jayanya oleh YBrs. Puan Kasumawati binti Kasim, Ketua Penolong Pengarah Program Pembangunan Insan, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi.
Semoga kursus ini berjaya mencapai matlamat penganjurannya serta dapat diteruskan lagi di masa yang akan datang.




