Lahad Datu, 29 April 2025 - Program Kecemerlangan Pengurusan Hal Ehwal Islam (PKPHEI), Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lahad Datu, JAKIM dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Daerah Lahad Datu telah menganjurkan suatu program yang diberi nama sebagai Sanggar Masjid; Kursus Profesionalisme & Tatakelola Kompeten pada 29-30 April 2025 (Selasa-Rabu) bertempat di Dewan Serbaguna, Pasukan Polis Marin Lahad Datu.
Kursus yang berlangsung selama dua hari ini berjaya menghimpunkan kira-kira 150 orang dalam kalangan imam dan jawatankuasa utama masjid seperti pengerusi, setiausaha dan bendahari daripada lebih 50 buah masjid di daerah Lahad Datu dan Tungku.
Antara objektif utama penganjuran kursus ini adalah untuk memberikan pendedahan dan kefahaman berkenaan nilai profesionalisme dan tatakelola yang terpuji dalam menguruskan masjid sebagai pusat penyatuan ummah. Selain itu, kefahaman dan kemahiran para peserta berkenaan pengurusan dan pengimarahan masjid juga dapat ditingkatkan sekali gus membuahkan kemahiran kepimpinan yang efektif agar tugas dapat dilaksanakan secara lebih berkesan. Aspek integriti dan etika yang sewajarnya dipatuhi dalam pengurusan masjid turut diberi penekanan agar tanggungjawab sosial dan komuniti dapat diurus dengan lebih tertib dan terpuji.
Beberapa slot pengisian diketengahkan sepanjang berlangsungnya kursus ini. Bermula dengan slot Kepimpinan Masjid Yang Inspiratif dan Peranan Masjid Dalam Pembangunan Sosial yang disampaikan oleh YBrs Ust Abdu Khalil bin Hassan; Pendaftar IPDAS yang juga merupakan mantan Pegawai Takmir Negeri Sabah, Akta SPRM 2009; Elak Rasuah, Patuhi Undang-Undang yang disampaikan oleh YBrs Tuan Azman bin Indus; Ketua Cawangan SPRM Lahad Datu, dan diakhiri dengan slot Sistem e-Masjid & e-Kariah; Sinergi Teknologi Dalam Pengurusan Kompeten yang disampaikan oleh YBrs. Ustaz Sahijuan bin Sariul; Pegawai Penyalaras Masjid Daerah (PPMD) JHEAINS Daerah Lahad Datu.
Kursus yang berlangsung selama dua hari ini berakhir dengan Majlis Perasmian Penutupan yang disempurnakan oleh YBrs. Ustaz Mizzuan bin Jafilus; Pengarah ILIM Kampus Lahad Datu.
Rata-rata peserta memberikan maklum balas yang sangat positif dan berharap agar penganjuran kursus sebegini diteruskan dalam misi meningkatkan ilmu, kemahiran dan profesionalisme petugas “front liner” atau barisan hadapan di masjid-masjid.