BANGI, 21 April 2025 – Profesion falak terus diperkasa sebagai komponen strategik dalam perkhidmatan Hal Ehwal Islam apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) melancarkan Program Sijil Eksekutif Profesion Falak (PRO FALCOM) Tahun 2025 di ILIM Kampus Utama Bangi hari ini.
Program intensif selama 5 hari bermula 20 hingga 25 Mei 2025 telah dirasmikan oleh YBhg. Kolonel Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, yang dalam ucapannya menekankan bahawa PRO FALCOM merupakan pelaburan strategik jangka panjang dalam melahirkan Pegawai Hal Ehwal Islam (PHEI) yang kompeten dalam profesion falak dan diiktiraf diperingkat nasional dan antarabangsa.
PRO FALCOM menghimpunkan seramai 30 peserta terpilih dari seluruh negara dalam kalangan PHEI yang akan dilatih menggunakan kerangka latihan pembangunan kompetensi falak. PRO FALCOM telah dibangunkan dengan pendekatan latihan orang dewasa yang interaktif dan bersifat praktikal, merangkumi sesi kuliah, bengkel simulasi, latihan lapangan dan diskusi kes. Pendekatan ini menjadikan program tersebut bukan sahaja bermanfaat untuk pembangunan individu peserta, malah menyumbang kepada kekuatan institusi dan jaringan profesion falak negara.
Majlis perasmian turut disertai oleh YBrs. Puan Nor Safina Zainal, Pengarah Kanan ILIM, pegawai-pegawai kanan ILIM, penceramah dan fasilitator falak profesional, serta peserta-peserta program yang berkongsi semangat dan harapan mereka untuk menyumbang dalam pembangunan falak selepas tamat latihan.
Pelaksanaan PRO FALCOM 2025 secara konsisten mampu mengangkat martabat falak sebagai profesion penting yang bukan sahaja berpaksikan tradisi keilmuan Islam tetapi turut menyokong ketepatan saintifik bersandarkan dalil syarak.




