WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi, 17 April 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) JAKIM Kampus Utama Bangi melalui Seksyen Akidah dan Pemikiran Islam, Program Teras ILIM telah berjaya melaksanakan Kursus The Art Of Intrafaith Dialogue yang berlangsung selama 3 hari bermula pada 15 April sehingga 17 April 2025.

Kursus ini bermatlamat antara lainnya memberi input kepada peserta berkaitan konsep dialog isu-isu semasa agama melibatkan akidah dan pemikiran yang selaras dengan Al-Quran dan Al-Sunnah.

Peserta juga dilatih mengaplikasi kemahiran dialog dengan mereka yang berbeza fahaman di kalangan umat Islam. Pada masa yang sama mereka perlu menjaga keharmonian dan perpaduan. Seramai 51 orang Pegawai Hal Ehwal Islam pelbagai gred dari JAKIM, JAIN, MAIN, Jabatan Mufti, KAGAT, IPTA dan lain lain skim telah menyertai kursus ini.

Seramai 4 orang penceramah yang pakar dalam bidang akidah Islam dan dialog isu-isu agama kontemporari telah dijemput untuk berkongsi ilmu pengetahuan dan kemahiran.

Kursus juga turut menjelaskan dengan terperinci syubhah-syubhah ajaran yang menyeleweng seperti ajaran sesat batiniah, Syiah dan liberal. Kursus ini menekankan agar aktiviti dialog isu-isu semasa agama dilakukan berterusan bagi mencegah sebarang salah faham, kekeliruan dan perselisihan di dalam masyarakat. Berbagai isu syubhah atau kekeliruan telah berlaku kebelakangan ini yang wajar diselesaikan dengan kaedah dialog yang berkesan.