Bangi, 17 Mac 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) menerusi Cawangan Khidmat Pengurusan telah menganjurkan program Serambi Naskhah yang menampilkan YBhg. Dato’ Mohd Zaidi Ramli sebagai tetamu istimewa.
Program ini bertujuan untuk mengangkat budaya membaca dan mendalami karya-karya ilmiah yang berkualiti dalam kalangan warga ILIM.
Menerusi sesi ini, YBhg. Dato’ Mohd Zaidi Ramli menekankan kepentingan ilmu sebagai asas pembentukan masyarakat yang berwawasan dan berakhlak.
Beliau turut berkongsi pengalaman serta pandangan mengenai peranan buku dalam membentuk minda yang kritis dan progresif.
Naskhah yang dibincangkan dalam program ini ialah The Art of Letting Go, sebuah buku yang mengupas seni melepaskan perkara yang begitu 'terikat' dalam kehidupan.
Buku ini memberi panduan kepada pembaca mengenai bagaimana untuk menerima perubahan, memaafkan diri sendiri dan orang lain, serta membina kehidupan yang lebih positif. Ia menekankan bahawa melepaskan bukanlah tanda kelemahan, tetapi satu langkah penting untuk mencapai ketenangan dan kebahagiaan sejati.
ILIM terus komited dalam usaha memperkasa budaya ilmu dengan menganjurkan program seumpama ini, seiring dengan visi untuk melahirkan modal insan yang cemerlang dan berpengetahuan luas.
Diharapkan Serambi Naskhah menjadi platform berterusan dalam menyemarakkan minat membaca serta mengukuhkan tradisi keilmuan dalam masyarakat.



