Bangi, 6 Mac 2025 - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menganjurkan Webinar Ramadan: Into The Taqwa Siri 1 secara dalam talian melalui platform Google Meet. Program ini bertujuan memberi kefahaman yang lebih mendalam tentang kepentingan Ramadan sebagai peluang transformasi diri serta membimbing peserta dalam meningkatkan kualiti ibadah dan hubungan dengan Allah.

Webinar ini menampilkan Yang Berbahagia Dr. Mohd Arif bin Nazri, Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Al-Quran & Al-Sunnah, Universiti Kebangsaan Malaysia, sebagai penceramah utama. Beliau menyampaikan ceramah bertajuk "Ramadan: Peluang Emas Ubah Hidup!" yang memberi penekanan kepada tiga aspek utama hati yang Ikhlas, kepentingan memperbaiki niat dan meningkatkan kesedaran dalam ibadah puasa yang lebh dari sekadar lapar dan dahaga serta memahami dimensi spiritual di sebalik ibadah puasa.
ILIM merakamkan penghargaan kepada semua peserta yang menyertai webinar ini dan berharap agar ilmu yang diperoleh dapat diamalkan serta diteruskan dalam kehidupan seharian. Nantikan Siri 2 yang bakal menyusul dengan topik menarik bagi memastikan momentum ibadah dan taqwa terus berkekalan selepas Ramadan.
