Bangi, 6 Mac 2025 – Seramai 1200 orang peserta menyertai diskusi khas bertajuk "Kewangan Ramadhan: Menahan Nafsu – Bersedekah vs Berbelanja", yang berlangsung secara dalam talian melalui Google Meet dan Facebook Live.
Diskusi yang dianjurkan oleh Institut Latihan Islam Kampus Utama Bangi di sampaikan oleh Yang Berbahagia Ustaz Muhammad Furqan Abdullah, Eksekutif Kanan di Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP, bertujuan untuk:
- Menjelaskan konsep sedekah berdasarkan syariat Islam.
- Meningkatkan kefahaman dan manfaat sedekah dalam kehidupan.
- Melahirkan masyarakat yang mengamalkan dan menyampaikan kepentingan sedekah.
Perbincangan meliputi perkara-perkara penting iaitu:
- Memahami Konsep Menahan Nafsu dalam Berbelanja dan Bersedekah.
- Peserta sedar bahawa Ramadhan bukan hanya menahan lapar dan dahaga, tetapi juga menahan nafsu berbelanja secara berlebihan. Perbincangan ini diharapkan dapat membantu peserta mengawal keinginan membeli sesuatu yang tidak perlu, sebaliknya mengutamakan perbelanjaan yang memberi manfaat jangka panjang dan akhirat.
- Menjadikan Sedekah sebagai Bentuk Latihan Menahan Nafsu. Peserta dapat melihat sedekah sebagai salah satu cara menundukkan hawa nafsu, kerana manusia cenderung menyayangi harta dan sukar melepaskannya. Dengan bersedekah, kita melatih diri untuk mengutamakan keperluan orang lain, memperbaiki jiwa, dan mendekatkan diri kepada Allah.
- Mengamalkan Perbelanjaan yang Berpada-pada.
Semoga selepas diskusi ini, setiap peserta lebih berdisiplin dalam mengawal perbelanjaan sepanjang Ramadhan, memastikan perbelanjaan dilakukan secara berhemah, tanpa pembaziran, dan selari dengan tuntutan agama.
Dalam sesi tersebut, Ustaz Muhammad Furqan menekankan bahawa Sedekah bukan sekadar memberi harta, tetapi juga melibatkan kebaikan dalam bentuk perbuatan dan perkataan. Beliau turut berkongsi ayat-ayat Al-Quran serta hadis berkaitan kepentingan infaq dan keseimbangan dalam berbelanja.
Perbincangan turut menyentuh keutamaan dalam bersedekah, termasuk kepada ibu bapa, keluarga, anak yatim, dan golongan yang memerlukan.
Diskusi ini diharapkan dapat menjadi panduan kepada masyarakat dalam membudayakan amalan bersedekah sepanjang Ramadhan dan bulan berikutnya.
Diharapkan peserta akan dapat:
- Pemahaman yang Lebih Mendalam - Semoga para peserta lebih memahami konsep sedekah berdasarkan syariat Islam serta kepentingan mengimbangi antara perbelanjaan dan inf
- Mengamalkan Budaya Bersedekah - Diharapkan setiap peserta dapat menjadikan sedekah sebagai amalan harian, bukan hanya di bulan Ramadhan, tetapi sepanjang tahun.
- Pengurusan Kewangan yang Lebih Bijak - Peserta diharapkan lebih cermat dalam mengurus kewangan, mengutamakan keperluan berbanding kehendak, serta memastikan perbelanjaan dilakukan dengan penuh keberkatan.
- Menjadi Ejen Perubahan dalam Masyarakat - Semoga ilmu yang diperoleh dapat disebarkan kepada keluarga, rakan, dan komuniti agar lebih ramai memahami keutamaan bersedekah dan kepentingannya dalam kehidupan.
- Meningkatkan Kesedaran Zakat dan Infaq - Diharapkan diskusi ini memberi kesedaran tentang kepentingan menunaikan zakat serta menggalakkan lebih ramai untuk menyumbang kepada golongan yang memerlukan melalui pelbagai saluran infaq.
Semoga Ramadhan ini membawa keberkatan dalam kehidupan kita semua dan menjadi titik permulaan kepada amalan sedekah yang berterusan.


