Kundasang, 27 Februari 2025 – Siapa sangka teknologi klasik dari tamadun terdahulu masih relevan hingga hari ini? Astrolab, instrumen falak purba yang suatu ketika dahulu digunakan untuk menjejaki bintang dan menentukan arah kiblat, kini kembali mencuri perhatian dalam eksplorasi sains angkasa!
Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Seksyen Penyelidikan dan Pembangunan Islam, Program Teras dan ILIM Kampus Kundasang telah berjaya menganjurkan Kursus Eksplorasi Teknologi Astrolab pada 25 hingga 27 Februari 2025.
Kursus ini menyaksikan 49 peserta terdiri daripada pegawai Hal Ehwal Islam JAIN, Jabatan Mufti, serta pegawai dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyelami sejarah dan inovasi instrumen falak ini.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Puan Nor Safina Zainal, Pengarah Kanan ILIM yang menekankan kepentingan melestarikan ilmu falak klasik untuk manfaat generasi masa kini.
Bersama Dr. Mohd Hafiz Safiai dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), para peserta berpeluang memahami konsep, fungsi, dan cara mereka cipta Astrolab dengan pendekatan yang lebih inovatif.
Peserta bukan sahaja memperkukuh kemahiran falak dengan latihan intensif ini tetapi juga memperkasakan peranan sebagai koordinator kompetensi bidang falak di Malaysia.
Astrolab bukan sekadar alat sejarah, ia simbol kebijaksanaan ilmuwan Islam yang terus memberi manfaat hingga hari ini!
Adakah anda berminat untuk meneroka warisan ilmu falak ini? Komen dan kongsi pandangan anda!