BANGI, 27 Februari 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) menganjurkan kursus Islamic Financial Planning selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Februari 2025 di Kampus Utama Bangi, Selangor. Kursus ini berlangsung di Bilik Al-Biruni, Aras 2, Blok Akademik ‘B’ ILIM bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang.
Kursus ini bertujuan meningkatkan pemahaman peserta mengenai pengurusan kewangan berlandaskan prinsip Islam, termasuk aspek harta dalam Islam, pengurusan risiko, perancangan takaful, zakat, serta pelaburan patuh syariah. Penyertaan kursus ini telah dihadiri oleh 33 orang daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri, Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti, Agensi di Bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Kementerian dan Jabatan.
Sepanjang program, peserta telah didedahkan dengan konsep-konsep utama dalam perancangan kewangan Islam. Sesi kursus dimulakan dengan taklimat dan sesi ice breaking, diikuti dengan perbincangan mengenai konsep harta dalam Islam dan perancangan kewangan Islam. Hari kedua pula menekankan aspek pengurusan aliran tunai, pelaburan Islam dan pengurusan risiko, manakala hari terakhir memberi tumpuan kepada perancangan pusaka Islam.
Kursus ini memberikan peluang kepada peserta untuk berinteraksi dan berkongsi pengalaman serta didedahkan tools kecerdasan buatan (AI). Dengan adanya kursus seperti ini, ILIM berharap dapat melahirkan pegawai yang berpengetahuan dan boleh memberi bimbingan kepada masyarakat untuk lebih memahami kepentingan perancangan kewangan secara beretika dan patuh syariah.


