WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Bangi, 27 Februari 2025 - Alhamdulillah, Kursus Survival Daie Belantara yang berlangsung pada 25 hingga 27 Februari 2025 di Bilik Al-Bukhari, Blok Akademik B, ILIM Bangi telah berjalan dengan jayanya! Seramai 35 peserta telah menyertai kursus ini yang terdiri daripada pelbagai agensi antaranya JAKIM, AADK, JKM, MAIN, Kastam dan lain-lain.
 
Kursus ini dianjurkan dengan objektif untuk menambah ilmu pengetahuan berkaitan kehidupan masyarakat Orang Asli, di samping meningkatkan kemahiran penyampaian dakwah yang mudah dan berkesan.
Selain itu, kursus ini juga bertujuan melahirkan penggerak masyarakat Orang Asli yang kompeten dalam melaksanakan tugas dakwah serta membantu meningkatkan kualiti hidup komuniti tersebut.
 
Antara pengisian dalam kursus ini termasuklah sesi bersama Us. Wan Masindra bin Juja, Penyelia Muballigh Islam Negeri Perak yang mendedahkan peserta kepada kepelbagaian suku kaum Orang Asli di Malaysia serta memahami adat, budaya, dan cara hidup mereka. Ini membantu para daie untuk mendekati komuniti ini dengan lebih berkesan dan penuh hikmah.
 
Selain itu, lawatan ke Muzium Orang Asli di Gombak turut memberikan peluang kepada peserta untuk melihat sendiri artifak, sejarah, dan perkembangan komuniti Orang Asli. Pengalaman ini membuka mata peserta terhadap kepelbagaian warisan budaya dan pentingnya menghormati serta menjaga nilai tradisional komuniti tersebut.
 
Peserta juga dibawa melawat Hospital Orang Asli di Gombak dalam Slot 5, di mana mereka didedahkan kepada aspek kesihatan dan kebajikan komuniti tersebut. Lawatan ini memberi pemahaman yang lebih mendalam tentang cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli dalam aspek perubatan dan penjagaan kesihatan.
 
Semoga segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh bukan sekadar memenuhi keperluan kursus tetapi mampu diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang konsisten dan membawa perubahan positif kepada masyarakat. Usaha berterusan dan sokongan padu daripada semua pihak amat diperlukan untuk memastikan keberhasilan jangka panjang dalam dakwah kepada masyarakat Orang Asli ini.
 
Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan kursus ini!