BANGI, 25 Februari 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi dengan penuh rasa tanggungjawab menganjurkan Seminar Inspirasi OKU bertemakan Mesej ‘Abasa: Mengangkat Martabat OKU. Seminar yang bertujuan memberi kesedaran dan inspirasi mengenai penghormatan serta keistimewaan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam perspektif Islam yang telah dihadiri oleh seramai 200 orang peserta dari pelbagai agensi, antaranya ialah Agensi Agama di Bawah Jabatan Perdana Menteri, Kementerian, SPRM, NGO, Institut Perguruan Guru Malaysia (IPGM), Institusi Pendidikan Guru peringkat negeri, IPTA dan IPTS.
Intipati dari Surah ‘Abasa (ayat 1–10) menjadi tema seminar ini bagi menegaskan prinsip kesaksamaan dan kemuliaan insan tanpa mengira keadaan fizikal atau kekurangan seseorang. Mesej yang membawa pengajaran mendalam bahawa dalam Islam, keutamaan diberikan kepada nilai ilmu dan insaniah serta keikhlasan seseorang, bukan kedudukan sosial atau keadaan fizikal.
Program ini telah menampilkan tiga penceramah jemputan yang cukup berpengalaman dan berinspirasi terdiri dari YBrs. Prof. Madya Dr. Hj Norakyairee bin Mohd Raus, Pengarah Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), USIM, YBrs. Encik Nur Arif bin Jasmin, Ikon Anak Istimewa Negeri Selangor (ANIS) 2023 dan YBrs. Tuan Ahmad Danial bin Mohd Sani, Pengajar Al-Quran Braille dari Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia.
Ternyata perkongsian ilmu, pengalaman dari barisan penceramah ini sangat memukau dan memberi sentuhan yang amat mendalam terhadap para peserta yang hadir selari dengan mesej surah ‘Abasa yang menegaskan nilai insan tanpa diskriminasi.
Diharapkan seminar ini menjadi titik tolak kepada perubahan positif dalam kalangan masyarakat dalam usaha untuk memperkukuh kefahaman umat Islam tentang tanggungjawab terhadap golongan OKU selain membina ruang inklusif bagi mereka untuk berkembang dan menyumbang kepada agama, masyarakat dan pembangunan negara.







