Bangi, 14 Februari 2025 – Seramai 66 pegawai lantikan baharu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi Gred S9, S5, dan S1 telah menyertai Kursus Al-Qawiyy Al-Amin Siri 1/2025 yang berlangsung di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama, Bangi. Berdasarkan Pelan Latihan atau Training Roadmap JAKIM 2020-2025, kursus ini telah disenaraikan sebagai salah satu Kursus Kompetensi Teras Utama kepada setiap gred lantikan baharu JAKIM samada bagi Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana. Ia adalah inisiatif penting dalam membentuk pegawai Hal Ehwal Islam yang berwibawa, berilmu, dan berintegriti dalam melaksanakan amanah yang diberikan, selaras dengan prinsip Islam dan keperluan perkhidmatan awam.
Sepanjang kursus ini, para peserta didedahkan dengan modul komprehensif yang menekankan aspek kepimpinan dan kepengikutan berasaskan nilai Islam, pengukuhan integriti, serta kemahiran dalam pengurusan dan komunikasi. Kursus ini turut menampilkan penceramah berpengalaman, terdiri daripada ilmuan agama, pakar pengurusan, serta tokoh akademik yang berkaliber bagi memastikan peserta memperoleh kefahaman yang mendalam dan praktikal dalam bidang tugas mereka.
Pelaksanaan kursus ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan JAKIM dalam memastikan pegawai lantikan baharu memiliki keupayaan (Al-Qawiyy) dan amanah (Al-Amin) dalam melaksanakan tanggungjawab mereka dengan cemerlang. Ketua Pengarah JAKIM menegaskan bahawa aspek kompetensi, etika kerja yang tinggi, dan kepimpinan berintegriti adalah kunci utama dalam memperkasakan perkhidmatan Hal Ehwal Islam di Malaysia, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan awam dalam sektor agama.
Para peserta kursus turut melahirkan rasa syukur dan teruja kerana kursus ini bukan sahaja memberikan ilmu secara teori, malah turut merangkumi latihan praktikal yang dapat membantu mereka dalam menghadapi situasi sebenar dalam bidang tugas masing-masing. Kursus ini juga menjadi platform terbaik bagi membina jati diri sebagai pegawai Hal Ehwal Islam yang lebih profesional, berdaya saing, dan berintegriti.
Majlis Perasmian Penutup Kursus Al-Qawiyy Al-Amin Siri 1/2025 telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Ketua Pengarah JAKIM, yang dalam ucapannya menekankan kepentingan ilmu, kepimpinan yang berkualiti, serta nilai amanah dalam melaksanakan tugas sebagai pegawai Hal Ehwal Islam.
Kursus ini dijangka akan diteruskan dalam beberapa siri sepanjang tahun bagi memastikan pegawai lantikan baharu sentiasa diberikan latihan yang relevan dan berkualiti. ILIM dan JAKIM kekal komited dalam usaha memperkasa modal insan agar selari dengan tuntutan perkhidmatan awam dan kehendak syariah, sekali gus memastikan pegawai Hal Ehwal Islam terus menjadi contoh kepimpinan yang unggul dalam masyarakat.



