Kundasang, 9 Februari 2025 - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Kundasang dengan kerjasama Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam (PKKI) ILIM Kampus Utama telah berjaya menganjurkan Kursus Aspirasi Madani: Pesona Jati Diri selama 3 hari 2 malam, bermula pada 7 hingga 9 Februari 2025. Kursus ini melibatkan penyertaan seramai 38 orang Pembantu Khidmat Am daripada pelbagai Bahagian JAKIM termasuk Masjid Negara, JAKIM Sabah, JAKIM Sarawak, Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS), Darul Quran dan ILIM.
Objektif utama kursus adalah untuk memperkasakan peranan dan tanggungjawab Pembantu Khidmat Am dalam menyokong Aspirasi Madani dalam perkhidmatan. Selain itu, kursus ini juga bertujuan meningkatkan kecekapan serta keberkesanan kerja dalam organisasi, di samping menerapkan nilai Islam sebagai budaya kerja bagi membentuk sikap positif, profesionalisme dan integriti yang tinggi dalam perkhidmatan.
Sepanjang kursus, peserta telah didedahkan dengan pelbagai pengisian termasuk sesi ceramah, latihan berkumpulan dan perbincangan interaktif yang memberi fokus kepada peranan Pembantu Khidmat Am, teknik meningkatkan keberkesanan kerja serta penerapan nilai-nilai Islam dalam budaya kerja.
Majlis penutupan kursus telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM yang dalam ucapannya menegaskan betapa pentingnya peranan Pembantu Khidmat Am dalam menyokong kelancaran organisasi. Beliau turut menekankan bahawa ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang kursus ini perlu diterapkan dalam tugas harian bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan.
Secara keseluruhannya, kursus ini telah mencapai objektif yang ditetapkan dan mendapat kerjasama yang hebat serta maklum balas yang positif daripada para peserta. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan pembudayaan nilai profesionalisme dan integriti terus berkembang dalam kalangan Pembantu Khidmat Am.




