WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi, 7 Februari 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menganjurkan Kursus Train The Islamic Trainer : I-TAQWA pada 3 hingga 7 Februari 2025 bertempat di Bilik Ibn Khaldun, Blok Akademik A, ILIM Kampus Bangi. Kursus yang dilaksanakan ini menggunapakai modul I-TAQWA (Islamic Training Consultation and Assessment for Quality Work Achievement) dengan kehadiran seramai 35 orang peserta daripada kalangan Perunding Latihan ILIM Kampus Utama Bangi dan kampus cawangan.

Kursus ini dirangka khusus untuk memperkasa peranan perunding latihan Islam membentuk jiwa kepimpinan murabbi dan mengintegrasi nilai holistik dalam konteks kehidupan seharian.

Kursus ini telah dikendalikan oleh tiga (3) orang perunding latihan yang berpengalaman luas iaitu YBrs. Ustaz Syahmi Syazeril bin Azmi dari Paradigma Ibrah Sdn. Bhd., YBrs. Dr. Abdul Razak bin Abd. Muthalib dari Global Genius Consultant dan YBrs. Dr. Nik Muhammad Hanis bin Nek Rakami dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Antara slot pengisian kursus ini ialah Pembangunan Diri Perunding Latihan Islam, Rehlah Alam Berkonsepkan Quranik dan Tauhidik, Pembangunan dan Reka Bentuk Modul Latihan Islam, Teknik Pengajaran dan Pembelajaran Yang Berkesan dan Kemenjadian Perunding Latihan Islam.  

Kursus ini telah dirasmikan oleh YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM. Turut hadir bersama dalam majlis perasmian ini ialah Puan Shukreyah binti Zawawi, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam dan Puan Norhayati binti Jaffri, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Dasar Latihan.

Adalah diharapkan agar kursus ini dapat menginspirasi perunding latihan Islam untuk memperbaiki kualiti diri menjadi perunding latihan Islam yang lebih dinamik, berstrategi, berjiwa murabbi dan memberi impak yang besar kepada ummah.