Bangi, 6 Februari 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) terus mengorak langkah ke peringkat global dengan mengadakan Mesyuarat Training Exploration bersama Ulul Albab Islamic Institute of New Zealand (UAIINZ) secara dalam talian. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM, dan dihadiri oleh pengurusan tertinggi ILIM serta Chief Executive Officer UAIINZ, Dr. Mohd Farid Ali Al Fijawi bersama pasukan pengurusan institusi berkenaan.
Mesyuarat ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua institusi dengan menekankan tiga objektif utama:
* Menjalin kerjasama strategik antara ILIM dan Ulul Albab Islamic Institute.
* Merangka modul dan program latihan rintis yang berimpak tinggi.
* Membuka laluan ke arah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara ILIM dan UAIINZ.
Perbincangan yang penuh dinamik ini turut merangkumi pelaksanaan program latihan rintis secara dalam talian serta pembentukan pasukan khas untuk membangunkan modul yang relevan dengan keperluan peserta dari New Zealand.
Inisiatif ini diyakini mampu melonjakkan peranan ILIM sebagai institusi latihan Islam yang kompetitif di peringkat antarabangsa. Selain memperluaskan capaian latihan ILIM ke luar negara, usaha ini juga memperkukuh agenda pengantarabangsaan ilmu dan pembangunan keilmuan Islam. Kesepakatan yang dicapai dalam mesyuarat ini bakal menjadi batu loncatan kepada kerjasama jangka panjang yang lebih kukuh antara ILIM dan institusi luar negara, mengukuhkan lagi kedudukan ILIM sebagai pusat rujukan utama dalam latihan Islam global.
Dengan semangat kerjasama yang tinggi, ILIM dan UAIINZ bersedia melangkah lebih jauh dalam memperkasakan latihan Islam di persada antarabangsa