Putrajaya, 6 Februari 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) terus mengorak langkah dalam memperkukuh sinergi strategik dengan Bahagian Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui satu kunjungan hormat yang berlangsung di Blok A, Kompleks Islam Putrajaya.
Kunjungan ini merupakan medan untuk berkongsi ilmu, mendapatkan input bermakna, serta membina jaringan kerjasama kukuh dalam bidang latihan, penyelidikan, dan pembangunan modul. Ianya sebagai langkah penting dalam memartabatkan penyelidikan Islam di peringkat nasional.
Delegasi ILIM yang diketuai oleh Puan Nor Safina Zainal, Pengarah Kanan ILIM disambut dengan penuh mesra oleh Tuan Haji Amran Haji Awaludin, Pengarah Kanan, Bahagian Penyelidikan. Dalam sesi perbincangan yang penuh konstruktif, kedua-dua pihak saling bertukar pandangan dan idea untuk memperkasa latihan serta penyelidikan Islam secara lebih komprehensif dan berimpak tinggi.
Antara fokus utama yang dibincangkan termasuklah usaha memperkasakan penyelidikan dalam bidang latihan Islam, penghasilan modul latihan yang relevan dengan keperluan semasa serta pelaksanaan program latihan yang lebih efektif. Kesepakatan ini diharapkan mampu melahirkan tenaga pakar dan modal insan berkualiti tinggi dalam dalam pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.
Kunjungan ini mencerminkan kesungguhan ILIM khususnya dan JAKIM amnya dalam mempertingkatkan kualiti latihan serta penyelidikan Islam seiring dengan matlamat pembangunan modal insan berdaya saing dan berilmu tinggi di Malaysia.