PUTRJAYA, 14 Januari 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) hari ini telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA), YBhg. Dato’ Seri Dr. Ahmad Jailani bin Muhamed Yunus, di pejabat beliau di Putrajaya.
Kunjungan ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan kerjasama antara ILIM dan SPA dalam usaha meningkatkan kecekapan serta profesionalisme dalam perkhidmatan awam, terutamanya dalam konteks latihan dan pembangunan sumber manusia.
Delegasi ILIM yang diketuai oleh Pengarah Kanan ILIM, Puan Nor Safina binti Zainal, turut membincangkan potensi kerjasama dalam aspek latihan dan juga program-program yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan keberkesanan dalam pengurusan perkhidmatan awam.
Kerjasama ini adalah langkah positif dalam memastikan setiap pegawai perkhidmatan awam dilatih dengan kemahiran dan nilai yang tepat untuk memajukan negara.
Kunjungan hormat ini diakhiri dengan sesi perbincangan mengenai peluang-peluang latihan dan pembangunan kerjaya bagi penjawat awam serta peningkatan sistem pengurusan dalam sektor awam.