Bangi, 17 Disember 2024 – Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengadakan kunjungan hormat ke Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi pada pagi ini. Kunjungan ini bertujuan untuk menjalin kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua pihak dalam bidang latihan dan pembangunan sumber manusia.
Delegasi MOSTI yang diketuai oleh Ketua Penolong Setiausaha BPSM MOSTI, Tuan Chan Tat Seng disambut mesra oleh Pengarah Kanan ILIM, Nor Safina Zainal bersama-sama barisan pengurusan ILIM.
Kunjungan ini menjadi platform untuk membincangkan pelbagai inisiatif dalam meningkatkan kualiti latihan dan pembangunan kapasiti penjawat awam serta untuk memperkukuhkan sinergi dalam bidang latihan Islam di Malaysia.
Dalam perbincangan yang berlangsung, Pengarah Kanan ILIM menekankan peranan ILIM sebagai pusat latihan utama dalam memartabatkan pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia. Beliau turut menyatakan komitmen ILIM untuk terus melahirkan generasi pemimpin yang berilmu dan berketerampilan, selaras dengan perkembangan semasa dalam teknologi dan inovasi.
Sementara itu, Tuan Chan Tat Seng menyampaikan harapan MOSTI agar kerjasama yang terjalin ini dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, khususnya dalam meningkatkan kemahiran dan pengetahuan penjawat awam dalam bidang sains, teknologi, dan inovasi dengan memanfaatkan elemen-elemen yang ada di ILIM, terutamanya dalam latihan berteraskan nilai-nilai Islam.
Kunjungan ini diakhiri dengan lawatan ke Galeri Falak Syeikh Abdul Aziz An-Nayyiri, ILIM. Insiatif penubuhan galeri merupakan asas kepada pembangunan modul kompetensi profesionalisme falak yang disebut Falak Competency Training Center (FALCOM). Galeri yang berkonsepkan inovasi dan kreativiti memaparkan 5 seksyen utama iaitu seksyen falak alam melayu, seksyen takwim hijri, seksyen arah kiblat & waktu solat, seksyen objek samawi serta seksyen artifak & audio visual. Replika al-Mizwalah (Jam Matahari) menggunakan ketepatan kedudukan geografi ILIM menampilkan pelbagai fungsi yang menarik seperti penentuan waktu dalam melaksanakan ibadah dan penentuan arah kiblat serta takwim buruj sebagai panduan dalam mengetahui perubahan musim.
Kedua-dua pihak bersetuju untuk melanjutkan kerjasama ini dengan lebih banyak inisiatif bersama di masa hadapan, terutamanya dalam bidang pembangunan sumber manusia khususnya bidang latihan yang dapat memperkasakan pengurusan hal ehwal Islam di negara ini.