LANGKAWI, 09 Disember 2024 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah mengadakan sesi libat urus yang bertujuan untuk memperkasakan lagi kualiti program – program latihan khususnya yang berkaitan dengan ilmu falak dan astronomi dalam melibatkan penyertaan lebih ramai penjawat awam dari pelbagai skim dan agensi. Sesi yang berlangsung di LADA ini dihadiri oleh wakil-wakil dari kedua-dua agensi.
YBhg. Dato’ Haslina binti Abdul Hamid Ketua Pegawai Eksekutif LADA hadir menyambut dan meraikan lawatan dari delegasi ILIM.
Program tersebut memberi platform kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi pandangan dan cadangan mengenai pembangunan latihan sektor awam khususnya dalam konteks latihan dalam bidang Islam.
ILIM turut memfokuskan usaha mereka dalam memperkenalkan lebih banyak kursus dan program latihan yang relevan dengan keperluan pegawai dan kakitangan LADA.
Menurut Pengarah ILIM, Puan Nor Safina Zainal, sesi libat urus ini adalah penting untuk memastikan program latihan yang ditawarkan selaras dengan pembangunan latihan dan sosial di kalangan kakitangan LADA.
"Kerjasama dengan LADA adalah langkah positif dalam memperkasa warga LADA, memberi mereka kemahiran yang diperlukan untuk pembangunan modal insan yang kompeten, profesional, berhikmah, efisien dan berintegriti, bagi memastikan pengurusan hal ehwal Islam di negara ini terus cemerlang katanya.