JELEBU, 5 Disember 2024 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Jelebu (IKJ) hari ini amat bertuah menerima lawatan kerja delegasi Pengurusan Tertinggi ILIM Kampus Utama (IKU), Bangi.
Lawatan kerja ini diadakan bagi membincangkan resolusi akhir tahun 2024 dan amanat persediaan program latihan bagi tahun 2025 oleh YBrs. Pn. Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM.
Sebelum perbincangan dijalankan, delegasi telah dibawa melihat kawasan pembaikan cerun dan kerja-kerja berkaitan bagi mendapatkan gambaran sebenar projek yang sedang berjalan. Beberapa perkara melibatkan pembangunan prasarana IKJ dan khususnya kemajuan program latihan, telah dibentangkan oleh YBrs. En. Norawi bin Endut, Pengarah IKJ, sekali gus mendapatkan nasihat dan pandangan Pengurusan Tertinggi ILIM.
Turut memberikan amanat persediaan menghadapi cabaran tahun 2025, Pengarah Kanan ILIM dalam ucapannya mengingatkan ahli perbincangan untuk sentiasa menjadi warga kerja yang proaktif serta inovatif seiring perkembangan kemajuan latihan di negara ini. Tahun ini, ILIM telah mencapai pelbagai kejayaan dengan ketekunan warga kerjanya dari sudut penyampaian dan pengurusan latihan.
Menjadi simbolik penutupan program latihan bagi tahun 2024, Pengarah Kanan ILIM telah menerima cenderahati bingkai gambar berserta kod QR rakaman-rakaman kursus atas talian IKJ yang sarat dengan pengisian ilmu.
Hadir bersama-sama mengiringi Pengarah Kanan ILIM, barisan Ketua Penolong Pengarah Kanan dan pegawai-pegawai kanan IKU.
IKJ amat berbesar hati menerima lawatan kerja ini dan berterima kasih atas keprihatinan Pengurusan Tertinggi ILIM terhadap kampus-kampus cawangan di seluruh Malaysia. Semoga hubungan erat ini akan terus lestari dan menjadikan ILIM terus relevan seiring Institut Latihan Awam yang lain.
Terima kasih dan semoga terus maju jaya!