WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Bangi, 15 November 2024 — Kursus "Islamic Affairs in Malaysia: Governance & Administration" yang dianjurkan oleh Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah melabuhkan tirainya dengan penuh jayanya.
Majlis Perasmian Penutup kursus tersebut telah diadakan pada hari ini, 15 November 2024, di ILIM Kampus Utama Bangi, Selangor disempurnakan oleh YBrs. Puan Nor Safina Zainal, Pengarah Kanan ILIM dengan dihadiri oleh peserta dari kalangan Imam Negara Maldives, serta pegawai-pegawai ILIM.
 
Kursus ini telah berlangsung selama dua minggu, bermula pada 3 November 2024, bertujuan untuk memberikan pengetahuan serta kemahiran dalam pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.
Dengan kerjasama antara ILIM dan agensi-agensi berkaitan, kursus ini merangkumi pelbagai sesi teori dan praktikal, yang meliputi ceramah, perbincangan kumpulan, serta lawatan ke agensi pengurusan Islam negara.
Majlis penutupan dimulakan dengan ucapan dari Pengarah Kanan ILIM, yang menyampaikan penghargaan kepada semua peserta atas komitmen mereka sepanjang tempoh kursus.
Dalam ucapan tersebut, beliau menekankan pentingnya pengurusan yang baik dalam hal ehwal Islam untuk memastikan keharmonian sosial dan pembangunan negara yang lebih progresif.
Beliau juga berharap agar para peserta dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam melaksanakan tugas mereka dengan lebih berkesan dan profesional.
 
Selain itu,beliau turut menyampaikan ucapan yang menggariskan peranan penting para Imam dan pegawai agama dalam memastikan pentadbiran hal ehwal Islam berjalan lancar dan selaras dengan prinsip-prinsip kesederhanaan yang dianjurkan oleh agama. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada para panceramah, fasilitator dan seketariat atas usaha gigih dalam melaksanakan kursus ini.
 
Sebelum majlis ditutup, sijil penyertaan telah disampaikan kepada semua peserta sebagai tanda penghargaan atas dedikasi mereka dalam mengikuti kursus ini.
Para peserta juga berkesempatan untuk berkongsi pengalaman dan pandangan mereka mengenai pengajaran yang diperoleh sepanjang kursus berlangsung.
Kursus ini diakhiri dengan doa dan harapan agar ilmu yang diperoleh dapat digunakan dengan sebaik-baiknya dalam membangunkan sistem pentadbiran hal ehwal Islam yang lebih efektif, serta memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara dalam mencapai kesejahteraan dan keharmonian.
 
Diharapkan para peserta yang telah menamatkan kursus ini akan terus menjadi agen perubahan dalam pengurusan hal ehwal Islam dan memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang bertamadun dan negara yang lebih maju.