Besut, 7 November 2024 – Telah berlangsung Majlis Perasmian Penutup Kursus Pasca Al-Qawiyy Al-Amin kepada Pegawai Kader JAKIM Siri 2/2024 (Zon Timur) yang disempurnakan perasmiannya oleh YBrs. Puan Nor Safina Binti Zainal, Pengarah Kanan Institut Latihan Islam Malaysia. Turut hadir dalam majlis perasmian ini ialah YBrs. Puan Shukreyah binti Zawawi, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Pusat Kecemerlangan Kepimpinan, YBrs. Encik Roska Bin Mohamaed Rasidek, Ketua Penolong Pengarah Program Teras serta pegawai-pegawai kanan ILIM.
Bermula 5 hingga 7 November 2024, seramai 39 orang Pegawai Kader JAKIM Zon Timur (Pahang, Terengganu dan Kelantan) telah mengikuti kursus ini dengan jayanya yang bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Besut. Kursus yang pertama-tama kali diadakan di Zon Timur ini telah menghimpunkan Pegawai Kader JAKIM (Zon Timur) iaitu seramai 27 orang peserta lelaki dan 12 orang peserta wanita yang bertugas di Kementerian Dalam Negeri, PDRM, Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Instut Kenahiran Belia Negara, Hospital, dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. Kursus ini antara lain adalah bertujuan untuk memantapkan profesionalisme PHEI sebagai Duta JAKIM, pengukuhan jati diri, sahsiah dan peribadi agar PHEI dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab di penempatan masing-masing dengan baik, teratur dan berintegriti.
Dalam ucapan amanat perasmian, YBrs. Pengarah Kanan ILIM mengingatkan para peserta supaya sentiasa cakna dengan peranan dan tanggungjawab yang digalas demi memelihara syiar Islam sebagai ad-Din dan reputasi serta imej institusi Islam supaya sentiasa disegani, dihormati, dipercayai dan kekal relevan dalam menghadapi apa jua cabaran situasi semasa. Beliau turut menasihatkan agar mempasakkan Nilai Bersama “JAKIM” iaitu Jatidiri, Amanah, Kerjasama, Itqan dan Mardhatillah dalam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi selaras dengan peranan JAKIM selaku peneraju pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.
Dalam ucapan penutup, beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua barisan fasilitator dan urus setia yang sentiasa berusaha untuk menzahirkan hasrat YBhg. Ketua Pengarah JAKIM menerusi medium-medium yang bersesuaian untuk memperkasakan modal insan ummah dalam kalangan Kader JAKIM khususnya dan kepada seluruh warga JAKIM amnya.
Semoga kursus ini mampu meningkatkan kredibiliti dan profesionalisme pegawai Kader JAKIM agar sentiasa menonjolkan imej dan potensi yang ada dalam diri, yakin diri dan konsisten mengorak langkah secara optimis, berani mencuba sesuatu yang baru serta bekerjasama dalam satu pasukan dan dapat diaplikasi dalam tugasan para peserta di penempatan masing-masing.