WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Tanjung Malim,01 Ogos 2024– Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) melalui Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam dengan kerjasama Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan Kursus Persijilan Pembimbing Dewasa Profesional pada 29 Julai 2024 hingga 1 Ogos 2024 bertempat di Hospitality Training Center, Scholar’s Suite, UPSI. Kursus ini telah dihadiri oleh seramai 17 orang peserta daripada kalangan perunding latihan Islam (PLI) ILIM.

Kursus ini diadakan bertujuan untuk memberi kefahaman kepada PLI ILIM berkenaan konsep andragogi (pembelajaran dewasa) serta mengaplikasikannya dalam konteks pembelajaran orang dewasa, membina kemahiran dalam mereka bentuk kandungan bahan pengajaran yang sesuai dengan keperluan peserta dewasa dan matlamat pembelajaran, meningkatkan kemahiran komunikasi pembimbing dewasa termasuk kemampuan mendengar, memberikan maklum balas yang konstruktif, serta memfasilitasi perbincangan, dan membantu tenaga pengajar memahami serta melaksanakan kaedah latihan yang efektif dan inovatif.

Sepanjang kursus ini, peserta didedahkan berkaitan perkembangan manusia dan learning style, teori pembelajaran dewasa dan kerangka pengajaran dewasa, seni set induksi memukau, teknik suara dan aplikasi, peneguhan dalam pengajaran, engage them to educate them, pembinaan kandungan dan teknik bercerita serta TPACK. Kursus ini dikendalikan sepenuhnya oleh pensyarah dari Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI iaitu Dr. Nik Muhammad Hanis bin Nek Rakami, manakala slot TPACK dikendalikan oleh Dr. Mohd. Muslim bin Md Zalli.

Pendekatan dan teknik penyampaian yang digunakan oleh tenaga pengajar telah memberi manfaat yang besar untuk peningkatan kompetensi peserta dalam mengendalikan pembelajaran dewasa secara efektif dan berkesan, yang diharapkan dapat memperbaiki mutu latihan dan pembelajaran di ILIM.

Penutupan kursus telah disempurnakan oleh YBhg. Prof Madya Dr. Abdul Talib Mohamed Hashim, Dekan Fakulti Pembangunan Manusi, UPSI dengan penyerahan sijil pencapaian kepada semua peserta.