WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

BANGI 11 Julai 2024 – Seramai 71 orang pegawai daripada pelbagai skim di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Agensi di bawah YB Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Penjawat awam Gred 19-48 telah menyertai Kursus Penulisan Dokumen Rasmi (Memo, Surat Rasmi, Emel dan Minit Mesyuarat) yang telah berlangsung selama 3 hari bermula dari 09 hingga 11 Julai 2024 (Selasa – Khamis). Kursus ini telah dianjurkan oleh Seksyen Kompetensi Generik, Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam bertempat di Auditorium Al-Syafie, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi.

Kursus ini bermatlamat antara lain untuk membolehkan para peserta mengaplikasikan kaedah penulisan dokumen rasmi yang berkualiti berdasarkan tatabahasa bahasa Melayu yang standard. Selain itu, kursus turut mendedahkan skil, pengetahuan dan kefahaman secara terperinci serta praktikal untuk membangunkan kemahiran di dalam menulis surat rasmi, memo, e-mel dan minit mesyuarat yang sistematik dan berkualiti.

Seramai dua (2) orang penceramah yang berpengalaman luas telah dijemput untuk berkongsi ilmu pengetahuan dan kemahiran iaitu YBrs. Dr. Azizul bin Haji Ismail, Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan YBrs. Tuan. Zaidi bin Ismail Perancang Bahasa Kanan, Bahagian Buku Sekolah DBP.

Para penceramah telah memberikan pendedahan mengenai kesilapan yang sering dilakukan dalam penyediaan dokumen rasmi. Para peserta dibimbing untuk meningkatkan kemahiran penggunaan bahasa dalam penulisan dan memandu peserta tentang pelbagai kaedah dalam penulisan dokumen rasmi yang yang berkualiti. Tahniah diucapkan kepada semua peserta yang berjaya menamatkan kursus ini. Diharapkan semoga kursus ini dapat mempertingkat profesionalisme dan kompetensi semua peserta.