BANGI 13 Jun 2024 - Kursus Tatacara Pengurusan Buku Rekod Perkhidmatan telah berlangsung selama dua (2) hari bermula dari 12 hingga 13 Jun 2024, bertempat di Bilik Al Khawarizmi, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi. Kursus ini telah disertai oleh seramai 44 orang peserta yang terdiri daripada Pegawai Sumber Manusia Gred 19 - 44 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Agensi-agensi di bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan penjawat awam daripada pelbagai Kementerian.
Pelaksanaan kursus ini bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan kepada peserta berkenaan dasar-dasar umum dalam pengurusan buku rekod perkhidmatan dan penyata perubahan serta teknik-teknik penulisan buku rekod perkhidmatan dengan betul dan tepat.
Kursus ini dianjurkan oleh Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam (PKKI) dengan kerjasama Unit Sumber Manusia, Cawangan Khidmat Pengurusan ILIM.
Kursus dikendalikan oleh penceramah atau pemudah cara undangan iaitu YBrs. Tuan Mohamad Ribwan bin Abas, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan YBrs. Puan Nor Shafinaz binti Mohd Tohah, Penolong Pengarah, Bahagian Khidmat Pengurusan, JPA.
Sepanjang dua (2) hari kursus, peserta telah didedahkan dengan pengenalan dan pengurusan Buku Perkhidmatan Kerajaan, kaedah dalam merekod Kenyataan Peribadi dan Kenyataan Perkhidmatan dalam menyediakan buku rekod perkhidmatan. Diharapkan dengan penyertaan dalam kursus ini, peserta akan dapat mempraktikkan ilmu yang diperoleh untuk meningkatkan efisiensi dan kualiti pengurusan rekod di jabatan masing-masing.