WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi, 13 Jun 2024 – Dalam usaha memperkukuhkan kemahiran teknologi maklumat dan sains data dalam kalangan Pegawai Hal Ehwal Islam, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Seksyen Penyelidikan dan Pembangunan Islam (R&D), Program Teras telah menganjurkan Kursus Python: Penyembulan Data Falak khusus untuk memvisualisasikan data falak. Kursus ini berlangsung selama 3 hari, bermula dari 11 Jun hingga 13 Jun 2024, di Bilik Multimedia, Blok Akademik A, ILIM. Seramai 32 orang peserta terdiri daripada pegawai dalam skim perkhidmatan Hal Ehwal Islam JAKIM, JAIN, Jabatan Mufti, Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), RTM, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, UniSZA, UKM dan Universiti Malaya telah mengikuti modul baharu ini dengan jayanya.

Objektif penganjuran kursus bertujuan untuk memberikan peserta pemahaman mendalam mengenai penggunaan bahasa pengaturcaraan Python dalam menganalisis dan memvisualisasikan data falak. Selain itu, kursus ini juga menyediakan pendedahan praktikal mengenai alat dan teknik visualisasi data yang terkini. Antara kandungan latihan yang diberi penekanan dalam kursus ini berkaitan latihan pengenalan kepada pyhton data falak, penggunaan astropy dalam manipulasi data falak dan visualisasi data dengan matplotib telah disampaikan oleh YBhg. Ts Dr. Muhamad Syazwan bin Faid dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Kursus selama 3 hari ini telah dirasmikan dengan jayanya oleh YBrs. Tuan Haji Mohd Roska Mohamed Rasidek, Ketua Penolong Pengarah, Program Teras, ILIM Kampus Utama Bangi mewakili YBrs. Puan Nor Safina Zainal, Pengarah Kanan ILIM. Dengan adanya inisiatif seperti ini, diharapkan Malaysia dapat melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang astronomi dan sains data yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa, sekaligus menyumbang kepada kemajuan sains dan teknologi negara.