Lahad Datu, 6 Jun 2024 – Program Kecemerlangan Pengurusan Hal Ehwal Islam (PKPHEI), Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lahad Datu, JAKIM telah menganjurkan Kursus Sembelihan Halal selama tiga hari dua malam, bermula 4 hingga 6 Jun 2024 di Bilik Kuliah Ibnu Rusyd, ILIM Lahad Datu.
Objektif utama penganjuran kursus ini adalah untuk memberi pendedahan kepada para peserta berkenaan konsep, kaedah dan prosedur sembelihan dalam Islam. Selain itu, peneguhan ilmu dan kefahaman para peserta turut dititikberatkan, khususnya dalam hal-hal yang berkait dengan hukum hakam, etika dan tatacara sembelihan menurut syarak tanpa mengabaikan kaedah-kaedah dan garis panduan penyembelihan yang terkini. Hal ini sekaligus mampu meningkatkan kemahiran para peserta dalam menguruskan proses penyembelihan agar lebih teratur, bersih dan kemas tanpa mengabaikan aspek kebajikan haiwan dan keselamatan makanan.
Seramai 46 orang peserta telah menghadiri kursus yang dianjurkan ini. Rata-ratanya dalam kalangan para imam di bawah seliaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), penternak-penternak di sekitar Lahad Datu, penjawat awam dan masyarakat awam dari pelbagai daerah di Pantai Timur Sabah.
Tiga orang penceramah yang berpengalaman luas dan berkemahiran tinggi telah diundang khas sebagai tenaga pengajar sepanjang berlangsungnya kursus ini. Mereka adalah Ustaz Wan Azmi bin Wan Omar; Pensyarah di IPG Kampus Tawau, Tuan Haji Sablee bin Abd Rahman; Pengasas Sablee Halal Slaughter Consultancy dan Pn. Aza Azlin binti Suparman; Pegawai Teknologi Makanan di MUIS Halal Hub.
Secara keseluruhannya, para peserta memberikan respons dan maklum balas yang sangat positif sepanjang berlangsungnya kursus ini. Hal ini kerana pelaksanaannya bukan sekadar teori semata-mata, tetapi melibatkan praktikal sembelihan. Bahkan penekanan terhadap hukum syarak tanpa mengetepikan kaedah dan teknologi penyembelihan terkini menjadikan kursus yang dilaksanakan di ILIM lebih istimewa berbanding di tempat yang lain.
Tiada apa yang diharapkan melainkan kursus yang dianjurkan ini memberikan manfaat dan kebaikan yang besar buat para peserta, seterusnya menjadi bekal ilmu dan kemahiran dalam mengurus dan menjalankan proses penyembelihan agar lebih kemas, bersih dan teratur.