Lahad Datu, 6 Jun – Program Kecemerlangan Pengurusan Hal Ehwal Islam (PKPHEI), Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lahad Datu, JAKIM telah menganjurkan Kursus Pengurusan Ibadah Pesakit yang berlangsung selama tiga hari dua malam, bermula pada 4 hingga 6 Jun 2024 bertempat di Bilik Kuliah Yusuf al-Qardhawi, ILIM LD.
Objektif utama di sebalik penganjuran kursus ini adalah untuk memberi pendedahan berkenaan kaedah pengurusan ibadah pesakit di samping menjelaskan isu-isu perubatan semasa yang memerlukan kepada kelonggaran hukum tertentu. Selain itu, penekanan terhadap kefahaman dan kemahiran dalam membimbing dan mendidik golongan pesakit berkenaan kaedah pelaksanaan ibadah turut dititikberatkan agar pesakit mampu mengaplikasi kaedah yang paling sesuai dan dibenarkan syarak. Seterusnya, garis panduan dan hukum hakam turut ditekankan khususnya ketika berinteraksi dengan golongan yang menghadapi kesukaran dalam melaksanakan ibadah ketika sakit.
Seramai 42 orang peserta telah menghadiri kursus ini yang terdiri, rata-ratanya terdiri dalam kalangan penjawat awam dan selebihnya masyarakat awam. Para peserta juga memberi respon yang sangat positif semasa sesi pembelajaran dan memberi komitmen penuh semasa program berjalan. Dua orang penceramah yang berpengalaman luas dan berkemahiran tinggi telah diundang khas sebagai tenaga pengajar sepanjang berlangsungnya kursus ini. Mereka adalah Ustazah Nurdalia binti Abdullah; Kader JAKIM di Hospital Tawau dan Ustazah Ruhanah binti Radin; Kader JAKIM di Hospital Lahad Datu.
Secara keseluruhannya, para peserta yang ditemui berkata pengisian yang disampaikan sama ada secara teori mahupun amali dapat difahami dengan jelas. Mereka juga menzahirkan kesyukuran dan rasa bertuah kerana penceramah yang dijemput berpengalaman luas, lebih-lebih lagi dalam bidang yang berkaitan dengan pengurusan ibadah pesakit. Hal ini sekali gus menjadi penanda aras bahawa objektif yang disasarkan berjaya dicapai.
Semoga dengan terlaksananya kursus ini membuahkan 1001 manfaat dan kebaikan yang besar kepada para peserta dalam memenuhi tuntutan fardu kifayah ini sekali gus membentuk individu yang bertindak dengan ilmu yang sarat di dada, bukan ikutan semata-mata.