WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Besut, 5 Jun 2024 - Emansipasi merujuk kepada pembebasan paradigma atau pemberian hak kesetaraan (adil) terhadap komuniti Orang Kurang Upaya (OKU). Di dalam sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kategori masyarakat seperti negara kita Malaysia, agama Islam turut dianuti oleh pelbagai golongan termasuk Orang Kurang Upaya (OKU). Golongan ini lazimnya amat memerlukan pembelaan dan pemberdayaan dalam pelbagai aspek. Ajaran Islam tidak membezakan umatnya sama ada yang dilahirkan sempurna ataupun memiliki kelainan upaya dan kekurangan.Malahan hak golongan tersebut untuk mendapatkan peluang mempelajari agama serta mengikuti program-program dakwah boleh dinikmati seperti masyarakat yang lain. Peluang seperti ini penting agar golongan istimewa ini juga dapat menjadi muslim yang mengamalkan ajaran agamanya dengan sempurna.​

Rentetan daripada itu Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi dan Institut Latihan Islam Malaysia Kampus Besut Terengganu dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan rasa penuh tanggungjawab telah menganjurkan Kursus Emansipasi OKU Zon Timur yang berlangsung selama 2 hari pada 4 Jun 2024 hingga 5 Jun 2024 di Bilik Kuliah Ar Rusdi ILIM Kampus Besut Terengganu.

Objektif kursus ini adalah untuk menjelaskan kepada peserta berkaitan hakikat ketidakupayaan menurut perspektif Islam dan maqasid syariah. Selain itu kursus ini dapat menerangkan peranan dan sumbangan agensi serta masyarakat dalam memastikan kelestarian pembangunan & kesejahteraan hidup komuniti OKU juga mempraktikkan kaedah dan teknik berkesan dalam menyantuni kepelbagaian kategori OKU.

Dengan mengenengahkan pengenalan kepada 7 golongan OKU iaitu Kurang Upaya Pendengaran, Kurang Upaya Penglihatan, Kurang Upaya Pertuturan, Kurang Upaya Fizikal, Kurang Upaya Pembelajaran, Kurang Upaya Mental dan Kurang Upaya Pelbagai pastinya dapat menambahkan ilmu 33 peserta yang menyertai kursus ini. Sasaran peserta kali ini terdiri daripada kakitangan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) negeri Pahang,Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) negeri Terengganu dan Pejabat Agama Jajahan (PAJ) negeri Kelantan .

Kursus ini dipimpin oleh Prof. Madya Dr. Haji Norakyairee bin Mohd Raus, Prof. Madya Dr. Nurul Asiah Fasehah binti Muhamad, Dr Siti Fatimah binti Mohd Tawel, En. Mohd Rosdi bin Osman,dan En Noordin bin Hassan turut dibantu oleh seorang fasilitator iaitu Puan Amalina binti Azhar, dari Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Semoga kursus kali ini akan dapat menambah ilmu pengetahuan tentang golongan OKU serta memudahkan urusan barisan hadapan Pejabat Agama Islam Daerah dan Pejabat Agama Jajahan negeri pantai timur khasnya.