WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi, 25 April 2024 – Teknologi jam matahari merupakan peninggalan purba dari tamadun yunani sehingga kemunculan tamadun Islam telah melalui pelbagai perubahan inovasi yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat pada zaman tersebut dan penggunaan teknologi ini terus kekal relevan digunakan sehingga kini.

Penerokaan produk sains angkasa telah memberikan impak besar terhadap kemajuan sebuah negara. Produk yang terhasil dari pembangunan ini menjadi rujukan utama kepada negara-negara lain seterusnya meningkatkan keboleh pasaran dalam dan luar negara.

Berdasarkan keperluan tersebut, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Seksyen Penyelidikan dan Pembangunan Islam (R&D), Program Teras telah berjaya melaksanakan Kursus Eksplorasi Teknologi Jam Matahari (Al-Mizwalah) pada 23 hingga 25 April 2024 bertempat di Bilik Ibnu Khaldun, Aras Bawah, Blok Akademik A, ILIM Kampus Utama Bangi.

Seramai 56 orang peserta terdiri daripada pegawai dalam skim perkhidmatan Hal Ehwal Islam JAKIM, JAIN, Jabatan Mufti dan Agensi-Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama) serta pegawai dari Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah mengikuti modul baharu ini dengan jayanya.

Objektif penganjuran kursus bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pegawai skim perkhidmatan hal ehwal Islam mengenai konsep dan fungsi, mereka cipta dan mempraktik kemahiran inovasi jam matahari sebagai insiatif memartabatkan sumbangan instrumen klasik falak zaman tamadun Islam.

Antara kandungan latihan yang diberi penekanan dalam kursus ini berkaitan latihan kemahiran mereka cipta inovasi jam matahari jenis khatulistiwa, armillary, mendatar dan menegak yang telah disampaikan oleh Tuan Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan dibantu oleh Encik Mohd Razlan bin Ahmad, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA Shah Alam. Pengetahuan dan kemahiran yang diterapkan dalam kursus yang dianjurkan diharapkan dapat memberikan nilai tambah kepada keboleh pakaran pegawai hal ehwal Islam sebagai pihak berautoriti utama yang wajib dirujuk dalam bidang falak di Malaysia.