WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi, 7 Mac 2024 – Trend penyelidikan dalam pengurusan Hal Ehwal Islam di Malaysia perlu diberikan penekanan terhadap peranan seni menyelidik untuk memahami, menghayati dan mengaplikasi prinsip-prinsip Islam dalam kehidupan masyarakat seharian. Instrumen penyelidikan digunakan sebaiknya dalam menentukan corak persembahan kajian yang dijalankan bermula dari penetapan masalah kajian sehingga laporan penuh selesai dan dibentangkan kepada pihak berkaitan sebelum diaplikasikan dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia.

Justeru itu, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Seksyen Penyelidikan dan Pembangunan Islam (R&D), Program Teras telah berjaya melaksanakan Kursus The Art of Islamic Research pada 5 hingga 7 Mac 2024 bertempat di Bilik Multimedia, Aras 2, Blok Akademik A, ILIM Kampus Utama Bangi. Seramai 22 orang peserta terdiri daripada pegawai dalam skim perkhidmatan Hal Ehwal Islam JAKIM, JAIN, Jabatan Mufti dan Agensi-Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama) serta pegawai dari Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengikuti modul baharu ini dengan jayanya. Objektif penganjuran kursus bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai kemahiran dan seni penyelidikan dalam pengurusan operasi kerjaya sebagai pegawai Hal Ehwal Islam.

Antara kandungan latihan yang diberi penekanan dalam kursus ini berkaitan latihan kemahiran penggunaan instrumen analisis SWOT, PESTEL dan Nvivo yang telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid bin Arshad dari Universiti Putra Malaysia serta latihan teknik penyediaan laporan penyelidikan secara ringkas, padat dan tepat yang disampaikan oleh dua orang pegawai dari Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri iaitu Puan Ilham Nursyiqin binti Rosli dan Dr. Abdul Halim bin Daud. Latihan ini menunjukkan betapa pentingnya integrasi seni dalam penyelidikan pengurusan Hal Ehwal Islam terutamanya dalam menghadapi cabaran-cabaran kontemporari yang memerlukan pendekatan secara kreatif dan menyeluruh. Peserta-peseta kursus diharapkan dapat memanfaatkan kemahiran seni penyelidikan bagi memperkukuh kesedaran keagamaan dan nilai moral dalam masyarakat secara lebih efektif.