Bangi, 29 Februari 2024 | Institut Latihan Islam Malaysia(ILIM) Kampus Utama Bangi dengan kerjasama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah mengadakan Kursus Profesionalisme Pegawai Masjid khusus untuk masyarakat orang asli.
Kursus yang berlangsung selama tiga (3) hari iaitu pada 27 hingga 29 Februari telah dihadiri oleh seramai 32 orang imam-imam masyarakat orang asli dari seluruh negeri Pahang yang mana masing-masing datang dari pelbagai Daerah antaranya Kuantan, Jerantut, Temerloh, Bentong, Maran, Rompin, Kuala Lipis dan Cameron Highlands. Kursus ini menggunakan sepenuhnya modul dan kepakaran ILIM.
Objektif perlaksanaan kursus ini antara lainnya adalah bertujuan untuk meningkatkan kefahaman peserta berkaitan Etika Profesionalisme Imam serta melahirkan para Imam yang berketerampilan, berkebolehan dan profesionalisme dalam melaksanakan tugas.
Modul latihan meliputi aspek etika profesionalisme imam, kaedah penentuan arah kiblat, Fiqh solat, Tahsin Al-Fatihah, Pengurusan jenazah dan penyampaian khutbah berkesan.
Majlis penutupan kursus ini telah disempurnakan oleh YBhg. Prof Dato' Dr. Fariza binti Md. Sham (DIMP), Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merangkap Ahli Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP)
Turut hadir Tuan Haji Mohd Ali bin Mat Dasir, Pengarah Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Islam, MUIP, juga turut hadir YBrs. Encik Mohd Nazri bin Abdul Majid, Ketua Penolong Pengarah (KPP), Program Teras (PT) Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi
Kursus ini telah mendapat maklum balas yang baik dari kalangan peserta dalam memahami etika profesionalisme imam dan berkaitan hak ehwal tadbir urus masjid.