BANGI, 26 Februari 2024 – ILIM Kampus Besut terletak di Bukit Keluang Besut, Terengganu telah menerima Lawatan Kerja Rasmi Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan JAKIM, YBhg. Dato’Haji Zamani Ahmad Mansor hari ini.
Lawatan kerja yang dilaksanakan itu memberi fokus kepada penyelarasan dan pemerkasaan program-program latihan, aktiviti pengurusan dan penyelenggaraan kampus ke arah memiliki prasarana yang lengkap, selamat serta kondusif untuk pelaksanaan kursus dan program-program di ILIM Kampus Besut khususnya berhubung status projek menaiktaraf infrastuktur dan fasiliti antaranya pembinaan semula pagar di zon A dan Zon B ILIM Kampus Besut.
Selain itu, lawatan ini turut membincangkan perjawatan dan pengurusan pengoperasian KAFA Kelantan. Selain dibawa meninjau struktur dan fasiliti Kampus Besut, deligasi yang hadir turut mendapat taklimat menyeluruh oleh Pengarah ILIM Kampus Besut, Puan Shukreyah Zawawi.
Hadir sama Pengarah Kanan ILIM, Puan Nor Safina Zainal bersama Pengurusan ILIM Kampus Utama Bangi, Encik Nik Mohd Ridzuan Nik Yaacob, Pengarah Bahagian Kewangan JAKIM, serta pegawai-pegawai kanan dari Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Bahagian Kewangan dan Bahagian Pendidikan JAKIM.