Bangi, 31 Jan 2024 - Program Pembangunan Insan, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah mengadakan Bengkel Pembinaan Glosari i-Sign Akhlak dan Tasawuf bagi Komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) Pendengaran yang berlangsung selama 3 hari bermula 29 Januari 2024 hingga 31 Januari 2024 di Bilik A’sim Blok Akademik A ILIM Kampus Utama Bangi.
Objektif bengkel ini adalah untuk menjelaskan glosari agar bertepatan dengan maksudnya dengan terjemahan atau atau tatabahasa Dewan Bahasa dan Pustaka dan dimurnikan mengikut kefahaman komuniti OKU Pendengaran.
Sebanyak 150 istilah Akidah dan Tasawuf telah dibincangkan huraian istilahnya berdasarkan kitab-kitab yang muktabar iaitu istilah- istilah umum (14), Akhlak Mazmumah (35), Akhlak Mahmudah (48) dan istilah Tasawuf (40).
Bengkel ini diadakan bertujuan untuk menyelaras glosari Bahasa Isyarat Islam (Akhlak wa Tasawuf) OKU Pendengaran bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham sebelum boleh digunapakai oleh masyarakat umum dan komuniti OKU Pendengaran khususnya.
Bengkel ini dikendalikan oleh ILIM selaku urus setia bersama pakar bidang dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) iaitu Prof. Madya Dr Ahmad Najaa bin Mokhtar, Prof. Madya Muhammad Khairi bin Mahyuddin dan Dr. Wan Mohd Fazrul Azdi bin Wan Razali serta turut terlibat adalah pakar bidang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Dr. Wan Haslan bin Khairuddin dan dibantu oleh 2 orang fellow dari USIM.
Bengkel ini dilaksanakan bagi memurnikan Glosari i-Sign Bahasa Isyarat Islam (Akhlak wa Tasawuf) OKU Pendengaran dan akan dinilai dan diluluskan oleh Mesyuarat Panel Pakar Tasawuf JAKIM.
Harapan semua agar Glosari i-Sign Bahasa Isyarat Islam (Akhlak wa Tasawuf) ini dapat meleraikan ketidakfahaman dan kekeliruan OKU Pendengaran terhadap istilah-istilah dalam konteks Akhlak wa Tasawuf dan dapat meneguhkan lagi keimanan serta amalan golongan terbabit.