BANGI, 31 Januari 2023 -Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Program Pembangunan Insan (PPI) telah menganjurkan Kursus First Aid Ruqyah Syar'iyyah pada 29 hingga 31 Januari 2024 bertempat di Bilik Kuliah Abdul Qadir Al-Jailani, ILIM Kampus Utama Bangi. Kursus tersebut dihadiri oleh 32 orang peserta yang terdiri daripada Pegawai Hal Ehwal Islam serta Pegawai Perkhidmatan Awam pelbagai skim dari seluruh Malaysia.
Kursus ini diadakan bertujuan bagi memberi pendedahan serta kefahaman berkaitan Ruqyah Syar'iyyah. Disamping itu, objektif yang disasarkan adalah bagi meningkatkan kemahiran dalam pelaksanaan proses Ruqyah Syar'iyyah. Ia juga sebagai persiapan awal pelindungan diri dan keluarga daripada gangguan halus.
Pelbagai tajuk yang telah dikupas antaranya "Gangguan Saka, Susuk & Santau", "Asas Perubatan Islam & Ruqyah Syar'iyyah" dan "Syarat Pengamal Perubatan." Lawatan ilmu turut diadakan ke Darussyifa' Bangi bagi melihat secara langsung proses perubatan komplimentari yang dijalankan.
Kursus ini menampilkan Perawat-perawat Darussyifa' seperti Ustaz Ab. Rashid Hj. Ahmad, Ustaz Mokhtar Kassan, Ustaz Rahman Nawas dan Ustaz Ikmal Zaidi Hashim sebagai penceramah-penceramah di dalam kursus ini.
Semoga kursus ini dapat meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam Ruqyah Syar'iyyah seterusnya membantu diri, keluarga serta masyarakat yang memerlukan bantuan rawatan komplimentari.