Putrajaya, 11 Ogos 2023 - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Kualiti Latihan (JPKL) Bilangan 1 Tahun 2023 bertempat di Bilik Mesyuarat Aras 9, Blok A, Kompleks Islam Putrajaya. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Datuk Hajah Hakimah binti Mohd. Yusoff dan dihadiri oleh ahli-ahli JPKL dan Pengarah Kanan ILIM sebagai setiausaha.
Antara fungsi JPKL ialah bagi memastikan setiap aspek pembangunan dan pengurusan latihan ILIM dapat dilaksanakan dengan sistematik dan terancang selaras dengan Dasar Latihan Sektor Awam ( DLSA) dan Pelan Latihan JAKIM (Training Roadmap) 2020-2025.
Mesyuarat JPKL yang diadakan kali ini antara lain adalah untuk memohon pertimbangan dan persetujuan dalam beberapa aspek pembangunan latihan ILIM terutama dalam aspek pelaksanaan kursus, pembangunan modul latihan, penilaian program latihan serta penyampaian latihan agar ia dapat dipertingkatkan selari dengan halatuju ILIM sebagai pemacu kecemerlangan pembangunan modal insan khususnya dalam perkhidmatan hal ehwal Islam di Malaysia.