BANGI 04 Ogos 2023 - Majlis Memeterai Nota Kerjasama Pelaksanaan On The Job Training (OTJ) Program Eksekutif Pengurusan Hal Ehwal Islam Gred S41 Siri 1/2023 (PEPHEI) di antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah berlangsung dengan jayanya di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi, hari ini. Majlis turut dihadiri oleh para Pegawai Kanan ILIM, pegawai dari JKM dan peserta Program PEPHEI.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada Pengarah Kanan ILIM. Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas kesudian JKM menjadi rakan strategik ILIM dalam pelaksanaan program ini dan berharap semoga program ini berjaya mencapai objektifnya serta dapat membuahkan hasil sebagaimana yang diharapkan.
Seterusnya, sesi taklimat telah disampaikan oleh YBrs. Puan Emee binti Khairi - Ketua Penolong Pengarah Cawangan Latihan dan Kompetensi JKM kepada semua hadirin berkenaan pengoperasian organisasi-organisasi di bawah seliaan JKM sebagai persediaan kepada peserta bagi menjalani OTJ tersebut.
Nota Kerjasama Pelaksanaan On The Job Training (OTJ) PEPHEI ini dimeterai oleh YBrs. Puan Wan Noraidah binti Wan Mohd Zain, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan YBrs. Puan Nor Safina Binti Zainal, Pengarah Kanan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM).
Melalui kerjasama tersebut JKM bersetuju menjadi rakan strategik ILIM bagi pelaksanaan On The Job Training (OTJ) di beberapa buah organisasi di bawah JKM di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor.
OTJ yang akan berlangsung mulai 7 hingga 9 Ogos 2023 ini bertujuan antara lain untuk meningkatkan profesion dan personaliti serta mutu penyampaian perkhidmatan Pegawai Hal Ehwal Islam supaya dapat menawarkan perkhidmatan berkualiti tinggi dan mendedahkan para peserta dengan kemahiran membina jaringan kerjasama atau 'networking' dalam kalangan peserta dengan agensi luar.