WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bangi, 6 Julai 2023 - Seramai 39 orang peserta yang terdiri dalam kalangan PHEI JAKIM, Kader JAKIM, JAIN, MAIN telah mengikuti Kursus Profesionalisme & Kepemimpinan Imam yang telah berlangsung selama 3 hari bermula dari 4 hingga 6 Julai 2023 bertempat di Bilik Kuliah Ibnu Khaldun, Blok Akademik A, ILIM Kampus Utama Bangi.

Objektif kursus ini antara lain adalah untuk memberi pengetahuan dan kefahaman mengenai profesionalisme dan kepemimpinan seorang imam berteraskan siyasah syar’iyyah, meningkatkan nilai integriti dan tata kelola seorang imam dalam aspek pengurusan dan pentadbiran institusi masjid, memantapkan kualiti pembacaan al Quran di samping memahami hukum hakam terhadap isu yang dibangkitkan seperti isu pelaksanaan qurban, isu solat jumaat kepada musafir, isu tersasar arah kiblat dan isu ketirisan serta penyelewengan dana masjid yang perlu ditangani secara lebih sistematik dan efisyen.

Bagi mencapai objektif ini, Seksyen Siasah Syar'iyyah di bawah Program Pembangunan Insan (PPI) ILIM Kampus Utama Bangi telah mengundang barisan penceramah yang berpengalaman dalam bidang tersebut untuk berkongsi ilmu dan kepakaran masing-masing iaitu Dr Amru Alhaz bin Adnan (JHEAINS), Us. Nik Sukiman bin Nik Yusof (SPRM), En. Muhammad Firdaus bin Mokhtar (The Solusi Production), YM Dr. Raja Hisyamudin bin Raja Sulong (UM), Al-Fadhil Us. Hassan al-Fadhli bin Abd. Rahim (Masjid Negara), S.S Haji Jamali bin Md. Adnan (Pejabat Mufti WP).

Seiring dengan kemajuan era globalisasi yang cukup mencabar pada hari ini, profesion imam sewajarnya menjadi kerjaya yang sangat tinggi kedudukannya seiring dengan kesedaran masyarakat yang sentiasa memerlukan khidmat nasihat dan solusi terhadap permasalahan yang dihadapi. Oleh kerana tanggungjawab yang digalas oleh imam ini cukup besar, maka tanggungjawab bukan hanya dalam perkara ibadah khusus semata malah perlu dipertingkatkan dan diperluaskan pengetahuan berhubung siasah syariyyah, komunikasi media baharu, integriti dan tata kelola dalam pengurusan agar nilai kepemimpinan imam itu mampu diaplikasikan dalam tugasan.

Para peserta memberikan kerjasama dan komitmen yang sangat baik di sepanjang kursus ini berlangsung. Semoga ilmu yang telah disampaikan oleh semua panel jemputan dapat difahami dan mampu direalisasikan ke arah memperkasakan profesion imam dan mampu menyerlahkan nilai-nilai kepemimpinan imam agar terus dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

Untuk melayari info lanjut, layari pautan berikut: https://ilim.islam.gov.my/ms/ atau untuk info dan permohonan kursus layari pautan: https://itis.islam.gov.my/