Bangi, 23 Jun - Program Pengurusan Hal Ehwal Islam (PPHEI), Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi telah melaksanakan Kursus Kemampanan Industri Halal Mikro bermula pada 21 - 22 Jun 2023. Kursus ini telah disertai oleh seramai 35 orang peserta terbuka yang terdiri daripada Pegawai di Skim Perkhidmatan Hal Ehwal Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri-negeri, Majlis Agama Islam Negeri dan turut disertai oleh tenaga pengajar daripada IPTA dan IPTS.
Objektif utama kursus ini adalah untuk memberi pengetahuan peserta tentang industri halal. Kursus ini juga bertujuan meningkatkan kemahiran dan keyakinan peserta kursus dalam menguruskan dan mengendalikan urusan berkaitan pengurusan halal. Kursus yang berlangsung selama dua (2) hari ini telah dikendalikan oleh Dato’ Haji Haris bin Embong, Dr.Lokman bin Ab.Rahman, Ustaz Hafizul bin Ayub dan Puan Asiah AlKarib Shah.
Perkara-perkara penting yang telah diberi penekanan ialah berkaitan penyediaan produk halal, pensijilan halal serta tanggungjawab pengusaha muslim. Semoga kursus yang dijalankan berupaya meningkatkan pengetahuan dan kompetensi pegawai dan peserta dalam pengurusan halal di Malaysia.