Lahad Datu, 22 Jun 2023 – Unit Kefahaman Dan Kemahiran telah menganjurkan Kursus Sembelihan Halal pada 20 hingga 22 Jun 2023 di Bilik Kuliah Ibnu Rusyd, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lahad Datu, JAKIM.
Kursus yang dijalankan bertujuan untuk memberi kesedaran kepada umat Islam untuk melakukan ibadah korban dengan melakukan penyembelihan ternakan korban mereka di rumah-rumah sembelih yang diluluskan dan berlesen serta meningkatkan kemahiran kepada umat Islam agar aktiviti penyembelihan korban dapat dijalankan dengan lebih teratur, bersih dan mengambil kira kebajikan haiwan dan keselamatan makanan.
Seramai 51 orang peserta terdiri dari imam-imam Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Penjawat Awam dan Masyarakat Awam di sekitar daerah Lahad Datu dan Tungku.
Penceramah yang dijemput bagi menjayakan kursus ini ialah Tuan Haji Sablee bin Abd Rahman dari Sablee Halal Slaughter Consultancy, Ustaz Rafidzan bin Abd Razak, Penyelia Agama Felda Wilayah Sahabat, Lahad Datu dan Pn. Aza Azlin binti Suparman, Pegawai Jabatan Perkhidmatan Veteriner, Kota Kinabalu. Mereka merupakan penceramah dan pegawai yang mempunyai banyak pengalaman dalam pengurusan penyembelihan halal.
Kursus ini mendedahkan kepada peserta berkaitan konsep penyembelihan dalam Islam, teknologi terkini penyembelihan, isu-isu berkaitan penyembelihan halal dan garis panduan pelaksanaan ibadah korban dan aqiqah dan amali sembelihan. Semoga kursus ini dapat memberi sedikit ilmu yang bermanfaat sebagai panduan dalam memahami dan mengaplikasi ilmu untuk kepentingan jabatan dan agensi masing-masing. Seterusnya dapat menyebarkan maklumat kepada seluruh masyarakat.