WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

KUNDASANG, 22 Jun 2023 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) JAKIM Kampus Utama Bangi melalui Seksyen Akidah dan Pemikiran Islam, Program Teras telah berjaya melaksanakan Kursus Pengukuhan Pemahaman Akidah @ Negeri Di Bawah Bayu yang telah berlangsung selama 3 hari bermula pada 20 - 22 Jun 2023.

Objektif kursus ini antara lain ialah untuk memperkukuhkan pengetahuan dan kefahaman peserta mengenai akidah berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, memberi pendedahan mengenai fatwa-fatwa semasa berkaitan akidah, bentuk-bentuk ancaman akidah dan kaedah menanganinya serta membina keyakinan diri peserta untuk berhadapan dengan sasaran dakwah dalam aspek akidah di negeri Sabah.

Seramai 52 orang peserta terdiri daripada para imam, pegawai masjid, Penggerak Masyarakat Saudara Kita,  Penggerak Dakwah Hidayah Centre Sabah dan NGOs dakwah yang kebanyakannya datang daripada Daerah Ranau, Telupid dan Tamparuli telah menghadiri kursus ini.

Seramai lima orang penceramah telah diundang bagi menyampaikan ceramah dalam kursus ini terdiri daripada mereka yang berkepakaran dan berpengalaman dalam bidang masing-masing daripada JHEINS, Pejabat Mufti Sabah dan Hidayah Centre Sabah. Kursus ini turut menyelitkan elemen pengukuhan ukhuwwah berbentuk gamifikasi melalui slot Smart One Aqidah pada malam terakhir yang dikendalikan sendiri oleh pasukan fasilitator daripada ILIM Kundasang.

Semoga dengan terlaksananya kursus ini dapat menyuntik semangat dan motivasi para peserta untuk terus teguh berpegang dengan akidah yang benar menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Di dalam Majlis Perasmian Penutupan Kursus, Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) sempat menitipkan  kata-kata nasihat dan harapan kepada peserta agar ilmu yang diperolehi melalui kursus ini dapat diterapkan dalam diri, keluarga dan masyarakat demi memastikan keselamatan akidah umat Islam di negeri Sabah khususnya agar kekal kukuh dan teguh seteguh Gunung Kinabalu.