Lahad Datu, 18 Mei – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lahad Datu, JAKIM telah menganjurkan Kursus Penulisan RPH & Kemahiran PdP pada 16 hingga 18 Mei 2023 yang lalu. Kursus yang dijalankan oleh Unit Kefahaman dan Kemahiran ini melibatkan 35 orang peserta yang terdiri daripada guru-guru KAFA di sekitar daerah pantai timur Sabah iaitu Tawau, Kunak, Semporna, Lahad Datu, Tungku, Kinabatangan, Beluran, Telupid, Tongod dan Sandakan.
Objektif utama kursus adalah untuk memperkenalkan RPM dan RPH serta setiap isi penting yang terkandung di dalamnya kepada para guru, menjelaskan tentang kepentingan penyediaan RPH dan kaedah penulisan yang betul, meningkatkan pengetahuan para peserta berkaitan teknik pengajaran dan pembelajaran berkesan, serta memupuk sikap dan budaya positif dalam gerak kerja.
Menerusi slot-slot ceramah yang dijalankan, para peserta telah mendapat banyak maklumat dan teknik daripada para penceramah yang dijemput khas dari Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau berkaitan Pengenalan Pedagogi Terkini, Penulisan RPM & RPH, Kemahiran Pengajaran Mikro & Makro, Pemilihan & Pembinaan Sumber PdP, Simulasi Penggunaan Sumber PdP dan Latihan Dalam Kumpulan. Para peserta juga telah memberikan kesungguhan sepanjang kursus dijalankan dan diberikan ruang untuk berkongsi pengetahuan ketika berada di dalam bilik kuliah.
Semoga ilmu yang diperoleh dapat diaplikasikan dengan baik di sekolah, seterusnya melakukan anjakan paradigma dengan pelbagai aktiviti bersama murid-murid. Pada penghujung kursus, para peserta diberikan sijil penyertaan sebagai tanda penghargaan di atas komitmen yang diberikan sepanjang mengikuti kursus ini.