Telaga Air | 16 Jun - Bimbingan menggunakan pendekatan coaching adalah satu pendekatan untuk membuka potensi diri seseorang individu. Sangat sesuai bagi mendokong karamah insaniah kerana teknik coaching adalah satu bentuk penghormatan kepada individu yang menjadi coachee dalam sesi ini. Karamah insaniah yang didokong dalam sesi coaching berlaku kerana penyoalan yang berstruktur bagi mencungkil potensi diri individu coachee, penyoalan itu mampu membuka minda untuk coachee berfikir dengan mendalam dan membuat refleksi.
Coaching meletakkan tanggungjawab kepada coachee untuk menyusun strategi dan membuat keputusan bagi menyelesaikan masalahnya. Manakala mentoring pula ialah satu bentuk bimbingan bagi memindahkan pengetahuan atau ‘tacid knowledge’ daripada individu yang lebih berpengalaman kepada individu yang baharu dilantik.
Kursus Coaching and Mentoring yang telah diadakan di Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) Telaga Air, Kuching, Sarawak dianjurkan oleh Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi dengan kerjasama IKMAS yang mensasarkan 35 orang peserta dalam kalangan Pensyarah IKMAS.
Antara kebaikan atau faedah kursus yang berlangsung selama tiga hari ini adalah meneroka potensi individu bagi meningkatkan kecemerlangan organisasi dalam melahirkan warga yang lebih berkemahiran, berkeyakinan tinggi, meningkatkan produktiviti kerja dengan prestasi kerja yang cemerlang serta menggunakan sumber manusia secara optimum.
Kursus yang bermula dari 14 hingga 16 Jun 2023 disampaikan oleh dua orang penceramah jemputan yang dibawa khas dari Institut Aminudin Baki (IAB) iaitu Puan Ainol Hidayah binti Abdul Rauof yang memiliki Certificate Professional Coach (CPC), Certified Trainer (CT), Certified Management Consultant (CMC) juga pegawai yang bertanggungjawab dalam Program Mentoring Pengarah-pengarah Bahagian dan Jabatan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Bersama-sama beliau ialah Encik Azhan bin Ahmad yang mempunyai Certificate Trainer (CT) dalam coaching mentoring dan Pegawai Penyelaras Program Bimbingan Sekolah-sekolah Orang Asli di KPM.
Semoga semua peserta yang menyertai kursus ini mendapat manfaat dan menggunakan kemahiran coaching mentoring yang telah diterima seterusnya menjadikannya satu amalan dalam kerja seharian. Seterusnya melalui amalan ini akan menjadi budaya yang akhirnya menjadikan IKMAS budaya menyokong pembangunan potensi antara satu sama lain lalu menguatkan hubungan kerja di samping mewujudkan individu dan pasukan yang berprestasi tinggi.