WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Bandar Baru Bangi, 24 Mei -Seramai 43 orang peserta dalam kalangan pegawai Hal Ehwal Islam daripada JAKIM, JAIN, MAIN dan Kader JAKIM di Kementerian telah dapat mengikuti Kursus Pentadbiran dan Pengurusan Masjid dengan jayanya. Kursus anjuran Seksyen Siasah Syar'iyyah di bawah Program Pembangunan Insan ILIM Kampus Utama Bangi ini juga turut dihadiri oleh kakitangan pengurusan hal ehwal Islam Maybank yang amat berminat untuk berkongsi idea dan pengalaman khusus berkaitan pengurusan masjid di era digital dan juga konsep pengurusan masjid dalam konteks siyasah syar’iyyah di Malaysia.

Objektif kursus ini antara lain adalah untuk memberi pengetahuan kepada peserta mengenai kaedah pengurusan dan pentadbiran masjid yang sistematik dalam kerangka Siyasah Syar’iyyah di samping meningkatkan kemahiran dan profesionalisme peserta dalam aspek pengimarahan masjid serta mengembalikan fungsi sebenar masjid sebagai pusat ibadah yang dihormati dan pusat aktiviti sosial umat Islam.

Kursus yang berlangsung selama 2 hari pada 23 dan 24 Mei 2023 ini menampilkan 4 orang penceramah  iaitu YBrs. Prof. Dr. Abdul Ghafar bin Don dari UKM, YBrs. Prof. Dr. Arieff Salleh bin Rosman, Dekan Fakulti Sains, Sosial dan Kemasyarakatan UTM Skudai Johor, YBrs. Tuan Hj. Fadzil bin Kassim, Timbalan Operasi JAWI dan Ustaz Azhar bin Tuarno dari ILIM.

Kursus ini juga diharap dapat memberi penjelasan kepada peserta terhadap kepentingan pengurusan masjid yang lebih sistematik berasaskan kepada maqasid syar’iyyah selari dengan tuntutan dan kepentingan maslahah ummah.

Semoga peserta mendapat manfaat dari kursus ini dan dapat mewujudkan perubahan dalam aspek pengurusan masjid sekaligus mampu menarik minat masyarakat khususnya golongan muda untuk terlibat dalam apa jua aktiviti yang dianjurkan oleh pihak masjid.